ASSALAMUALAIKUM WBT
Taubat ? Apakah itu taubat ?? Signifikankah dengan diri kita ??? Taubat dari sudut bahasa berasal daripada kalimah ‘tawaba’ yang bermakna pulang atau kembali. Sedangkan taubat dari sudut Istilah pula, bererti pulang atau kembali ke ribaan Allah S.W.T setia tetap berada di pintu-Nya. Taubat merupakan cabang daripada rahmat Allah. Taubat bukan sekadar gerak lidah meminta keampunan, lelehan air mata, perasaan kesal di hati dan azam untuk kembali kepada Allah S.W.T dalam hal keadaan suci dan bersih. Taubat sebenarnya menzahirkan sifat kehambaan kepada Allah kepada Khaliqnya. Kerana itulah Rasulullah S.A.W banyak bertaubat kerana Baginda adalah seorang insan kamil dari sudut menyerlahkan sifat seorang hamba. Dengan taubat terangkat sifat rendah diri(tawaduk), berhati-hati(warak) dan sikap ingin menjadi lebih baik(ihsan). Ia juga adalah tawaran Allah kepada hamba-Nya agar mereka kembali kepadanya setelah mereka melakukan dosa atau maksiat. Rasulullah SAW bersabda :
“Sesungguhnya Allah membuka tangan-Nya di malam hari untuk menerima taubat orang yang melakukan dosa di siang hari dan membuka tangan-Nya di siang hari untuk menerima taubat orang yang melakukan dosa di malam hari. Keadaan ini berlaku sehinggalah matahari terbit dari arah barat”.
(Riwayat Muslim no. 2759)
Tidakkah kita begitu beruntung menjadi hamba Allah kerana berdasarkan hadis di atas, Allah dengan tangan yang terbuka menerima taubat hamba-Nya. Walaupun kita sering melakukan dosa itu, Allah tetap menerima taubat hamba-Nya sampai hari Kiamat! Allah dengan sifatnya yang Maha Pengampun memang tidak sama dengan sikap manusia yang apabila seseorang meminta maaf atas kesilapan yang sering diulang, tentu kita akan marah orang itu oleh sebab dia tidak faham bahasa. Tetapi Allah bukan macam itu, Dia akan membalas dengan setimpal kebaikan seseorang walaupun hanya sebesar zarah!
Apakah pula hukum taubat? Wajib? Sunat? Harus? Hukum bertaubat tak lain dan tak bukan adalah WAJIB . Ini berdasarkan beberapa ayat Al-quran dan hadis Rasulullah SAW.
Firman Allah S.W.T. :
“Dan bertaubatlah kamu keseluruhannya kepada Allah wahai orang-orang beriman semoga kamu mendapat keuntungan.”
(Surah An-Nur: 31)
“Dan mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah bertaubat kepada-Nya, sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang, Maha Pengasih”
(Surah Hud: 90)
Selain itu, terdapat riwayat yang mengatakan orang yang tidak bertaubat , mereka adalah orang-orang yang zalim.
Firman Allah S.W.T. :
“ Dan barang siapa yang tidak bertaubat,maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
(Al-Hujurat : 11)
Maka jelaslah bahawa taubat adalah wajib bagi setiap orang yang mengaku dirinya sebagai seorang Islam. Jika tidak mereka adalah golongan yang zalim. Sementara orang-orang yang zalim tidak akan memperoleh kejayaan(Surah Yusuf: 23), tidak dikasihi Allah( Ali-‘Imran: 57 ) dan tidak diberi petunjuk-Nya (Al-Maidah:51). Bahkan mereka itu tidak akan terselamat dari api neraka sepertimana firmanNya;
“Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam neraka dalam keadaan berlutut”.
(Maryam 72)
Dalam konteks kita sebagai orang muda yang masih mempunyai tenaga dan masa, taubat perlulah dilakukan dari usia muda bukan menunggu saat tua dimana urat-urat menjadi kejang, sendi sudah tidak kuat untuk melakukan ibadah lagipula taubat kepada Allah. Wahai sahabat-sahabatku yang disayangi kerana Allah, siapakah kita untuk menjamin kita untuk terus hidup hingga ke usia tua. Adakah ajal maut ditangan kita ?? Bukankanh mati juga banyak mengejar yang muda? Terlalu banyak kisah-kisah manusia yang tidak sempat untuk kembali ke pangkal jalan kerana menangguh-nangguh taubatnya. Tanpa kita ketahui, taubat yang dilakukan oleh orang muda lebih disukai oleh Allah. Seperti mana dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Tiada sesuatu yang lebih disukai Allah daripada seorang pemuda yang bertaubat.”
(Riwayat al-Dailami)
Saya memang nak bertaubat! Tetapi macam mana caranya?
Taubat yang diperintahkan kepada orang beriman ialah Taubat Nasuha yang terkandung di dalam firman Allah S.W.T. ;
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha.”
(At-Tahrim:8)
Apakah Taubat Nasuha ? Taubat Nasuha adalah taubat yang tulus dan bersungguh. Ibnu Kathir menyatakan di dalam kitab tafsirnya, ‘Taubat Nasuha ertinya adalah taubat yang sebenarnya dan sepenuh hati, akan menghapuskan keburukan-keburukan yang dilakukan sebelumnya, mengembalikan fitrah jiwa orang yang bertaubat itu serta menghapus keburukan-keburukan yang pernah dilakukan olehnya.
Taubat nasuha mempunyai syarat-syarat yang perlu dipenuhi agar taubat diterima Allah. Diantara syarat taubat ialah menyesal terhadap perbuatan dosa yang telah dilakukan, bertekad untuk meninggalkan sepenuhnya dan tidak mengulangi perbuatan dosa yang telah dilakukan. Jika dosa yang dilakukan berkaitan dengan manusia yang lain kita hendak meminta maaf denggannya. Jika berupa harta benda wajib dipulangkan.
Taubat boleh dimulakan dengan sedar betapa besarnya dosa yang dilakukan. Ini adalah kerana dia telah bersalah kepada Allah, Pencipta Yang Maha Besar. Seperti cerita pada minggu lepas, saudara kita mula bertaubat dengan merasa bersalah atas dosa dia lakukan. Selain itu, kita perlu tanam rasa menyesal dan gerun terhadap balasan yang bakal menimpanya di hari akhirat kelak sekiranya dia tidak bertaubat. Rasulullah SAW bersabda : “ Menyesali (dosa) itu adalah taubat” . Di samping berniat serta berusaha sedaya upaya menjauhi dan meninggalkan dosa yang telah dilakukan dan bertekad untuk tidak mengulanginya lagi. Walaupun kadang-kala kita mungkin mengulangi dosa itu, jika kita benar-benar menyesal dengan dosa kita, insya Allah, Allah tidak akan menzalimi hamba-Nya dan memberinya taubat nasuha.
Di samping itu, kita juga boleh memperbanyakkan Istighfar setiap masa sehingga kalimah istighfar menjadi zikir. Lafaz yang mudah disebut yang mampu membantu kita di hari akhirat kelak. Bukan wang ringgit, bukan emas, bukan kereta Mercedes yang akan digunakan di hari akhirat. Tetapi segala zikir kita yang menjadi matawang di akhirat kelak.
Selain itu, antara cara mudah untuk bertaubat adalah dengan merapati orang-orang yang soleh. Sebab, orang-orang yang soleh akan menyebarkan virus persekitaran solehah yang juga boleh menjangkiti kita! Bukannya tujuan untuk membezakan kawan-kawan yang soleh dan yang tak soleh, tetapi kita sendiri boleh menilai rakan mana yang banyak mendorong kita ke arah kebaikan atau ke arah sebaliknya. Tetapi, adalah sangat penting untuk kita banyak pergi ke ceramah agama yang sememangnya diberi oleh golongan alim ulama yang soleh di sekitar kita. Dari kita duduk di rumah main ber-facebooking, lagi banyak pahala kita boleh dapat dengar majlis ilmu. Kan hadis Rasulullah SAW menyuruh kita mengejar taman-taman syurga di dunia iaitu majlis ilmu. Bayangkan, takkan kita rela memilih untuk meninggalkan keindahan berada dalam taman syurga di dunia berbanding nikmat duniawi yang sementara.
Penerimaan taubat
Taubat yang dilakukan oleh seseorang pasti diterima berdasarkan Sunnah Allah S.W.T. terhadap makhluk serta menurut kaitan antara sebab dan musabab yang terdiri di atasnya alam ini. Sesiapa yang mengetahui Sunnah Allah serta disiplinnya yang tetap, dia akan mengetahui bahawa apabila cahaya taubat terpancar,ia akan menghapuskan kegelapan dosa serta kesan-kesannya di dalam hati sepertimana cahaya fajar dan mentari yang menghapuskan kegelapan malam dan sepertimana air dan sabun menghapuskan kekotoran dan daki dari pakaian serta badan.
*Diambil dari blog ustaz asri
*Allah S.W.T bersifat Maha Pengampun dosa dan Maha Penerima taubat berdasar surah Al- Ghafir ayat ke 25. Allah S.W.T juga berfirman dalam Al-Quran
“Katakanlah, Wahai hamba-hambaKu yang melampui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
(Az-Zumar : 53 )*
Aku dah bertaubat tapi bagaimana aku nak tahu taubat aku itu diterima atau tidak ?
Pertama ialah orang yang bertaubat menjadi jauh lebih baik dari sebelumnya. Jika dahulu dia seorang yang suka minum arak, kini arak telah menjadi satu najis yang perlu dihindari dalam dirinya. Jika dahulu dia seorang yang jauh dengan masjid kini masjid dijadikan sebagai rumah kedua baginya. Kini, walaupun dia dah berkali-kali terlanjur, sekarang dia merasakan betapa kurang cerdik dan jijik perlakuannya dahulu menyebabkan dia menjauhi perbuatan tersebut.
Keduanya, perasaan takut sentiasa menyelubunginya sehingga dia merasakan bahawa dia tidak selamat dari kemurkaan Allah walau sekelip mata. Rasa takutnya berterusan sehingga dia mendengar seruan Malaikat yang diutuskan oleh Allah untuk mencabut nyawanya berkata ;
“Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih dan bergembiralah dengan (memperolehi) syurga yang telah dijanjikan oleh Allah kepada kamu semua”
(Fushshilat :30)
Ketika itu barulah hatinya menjadi tenang.
Assalamualaikum wbt...
No comments:
Post a Comment