Thursday, 23 August 2012

Nikmat Kurniaan ALLAH SWT





Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum wbt....

Ya Allah jadikanlah kami hamba-hambaMu yang mensyukuri nikmat-nikmatMu.

Kawan-kawan, betapa banyak nikmat yang Allah berikan dalam hidup ini. Tetapi adakah kita bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah? Janganlah sekali-kali mempertikaikan apa yang terjadi kepada diri kita kerana sudah termaktub di dalam kitab suci al-Quran bahawa sesuatu yang kita sukai tidak semestinya baik bagi diri kita dan sesuatu yang kita tidak sukai tidak semestinya buruk untuk kita. Sesungguhnya apa yang terjadi pada diri kita pasti ada hikmah disebaliknya sama ada kita suka ataupun tidak kerana Allah Maha Mengetahui akan apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.

Adakah kita sudah tergolong dalam hamba-hambaNya yang bersyukur? Sama-sama kita nilai diri kita, sudah banyak mana kita bersyukur kepada Allah atas nikmat kurniaanNya. Rasulullah solat sehingga bengkak kaki baginda sedangkan baginda sememangnya dijamin syurga. Kenapa? Baginda solat untuk menzahirkan rasa syukur kepada Allah. Walaupun Nabi Muhammad diuji dengan pelbagai ujian dari hari ke hari tetapi rasa kesyukuran baginda semakin bertambah dari ujian kepada ujian yang lain. Perkara yang sama juga berlaku ke atas sahabat-sahabat baginda ketika zaman pemerintahan Islam. Pelbagai dugaan dihadapi dalam menegakkan agama sesudah kewafatan baginda namun adakah mereka mengeluh? Adakah mereka berputus asa untuk terus mensyukuri nikmat Allah SWT disebalik dugaan yang dihamparkan? Adakah kita begitu sahabat-sahabatku? Memanglah kita tidak akan dapat menandingi Nabi Muhammad SAW serta sahabat-sahabat baginda tetapi sedarkah kawan-kawan, kita sepatutnya lebih mensyukuri nikmat Allah SWT apatah lagi di zaman pasca kemerdekaan ini.


Ujian Allah hanya kecil kepada kita tapi kita sering merungut dan mempertikaikan cinta Allah kepada kita. Tidakkah kita terfikir nikmat Allah selama ini sangat banyak dan tidak terhitung dengan jari dan jika ditulis satu persatu pasti kita tidak akan mampu untuk menulisnya. Tapi ujian Allah yang kita boleh hitung dengan jari inilah yang kita runsingkan, ujian Allah yang hadir sepanjang hidup kita itulah yang dirungutkan. Siapa yang merasakan bahawa ujian pada dirinya lagi banyak dari nikmat Allah? Cuba masing-masing hitung ujian dan nikmat yang Allah bagi pada diri masing-masing. Allah tak bagi aku cemerlang dalam pelajaran, Allah tak bagi aku cinta (orang yang aku suka tak suka kat aku), Allah bagi aku sakit, Allah bagi aku susah nak faham pelajaran…Hrm apa lagi ujian Allah bagi kat kita ya? Masing-masing fikirlah sendiri. Buatlah list panjang-panjang, gunalah sebanyak-banyak mana kertas yang dimahukan.

Okay. Sekarang jom kita kira nikmat Allah pula. Masing-masing cuba list and compare dengan ujian yang Allah bagi tadi. Nikmat Allah: ibu, bapa, kawan, keluarga, kemerdekaan, matahari, air, udara, pokok, hujan, panas, hidung, mata, mulut, telinga, kaki, tangan, hidung, jari, kemewahan; kereta, rumah, duit, pakaian, laptop, phone, makanan, minuman dan macam-macam lagi. Bahkan, sehingga maut menjemput pun kita tidak akan mampu untuk mengira nikmat-nikmat Allah SWT. Tak cukup lagi kah nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita? Tidakkah kita patut bersyukur mempunyai semua nikmat itu berbanding dengan saudara kita yang kurang bernasib baik? Kawan-kawan, sekecil-kecil cell dalam badan kita pun merupakan nikmat Allah yang ternilai kepada kita.

 Cuba bayangkan bagaimana seandainya kita terlebih satu chromosome dalam badan kita. Adakah kita akan wujud dalan keadaan kita hari ini yang serba sempurna? Kalau dah terlebih satu chromosome kat autosome yang ke 21, mungkin kita akan dapat syndrome down!

Bayangkanlah kawan-kawan sekecil-kecil benda merupakan satu nikmat bagi kita sebenarnya. Itu adalah chromosome yang ada dalam cell, basic unit of life. Perkara besar yang ada di depan mata kita sekarang ni pun kita tak rasa itu merupakan satu nikmat. Cuba tepuk dada tanya iman masing-masing, kenapa kita tak sedar akan segala nikmat kurniaan Allah? Wahai bakal-bakal doktor mukminin dan mukminah sekalian, jangan sempitkan fikiran kita! Apa yang menyenangkan kita di dunia ini adalah nikmat dan jangan kawan-kawan fikir bahawa ujian bukanlah satu nikmat.

 Allah uji kita sebab Dia sayang kita. Ujian Allah merupakan satu peringatan daripada Dia sama macam satu panggilan telefon daripada ibu tercinta yang jauh di kampung halaman menelefon kita dan bertanya khabar. Kenapa ibu berbuat begitu? Pasti kerana kasih dan sayangnya ibu kepada anaknya. Begitu juga dengan ujian mahupun nikmat daripada Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Mungkin kita sudah terlalu leka dengan duniawi sampai lupa kat Dia. Bila ditimpa ujian, barulah kita nak mencari Allah., barulah kita nak mengadu padaNYA. Datangnya ujian kepada kita, adalah kerana rindunya ALLAH SWT untuk mendengar rintihan hamba-hambaNya. Jadi, ujian Allah adalah untuk memanggil kita mendekatkan diri kepada Dia. Kawan-kawan, bersyukur dan bersabarlah dengan ujian Allah kerana Allah sebenarnya rindu kepada kita. Tapi kawan-kawan kenapa masih ada dalam kalangan kita yang tidak tahu bersyukur dan masih tidak mengadu kepada Allah saat diri diuji? Tak faham… ALLAH pencipta kita dan Dia rindu kat kita tapi apa yang kita buat? Kita mengadu masalah kepada makhluk Allah juga. Tak salah untuk berkongsi rasa hati tapi kenapa dengan seseorang yang bukan halal bagi kita? Allah dah bagi ujian untuk kita dekatkan diri kepada-Nya tapi kita tambah lagi dosa yang dah bergunung ni!



Ya Allah, Engkau ampunilah kami. Dosa kami sudah menggunung tinggi tapi masih membuat dosa. Ya Allah, bersihkan hati kami dan berilah kami petunjuk-Mu dan rasa ingin kembali kepada-Mu.

Saya nak highlight disini, bagi yang diuji, sesungguhnya Allah merindui dirimu. Allah tahu kemampuan hamba-hamba-nya. Dia tidak akan menguji diluar kemampuan kita. Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya tapi hamba-Nya sendiri yang menzalimi diri sendiri. Kita diberi peluang untuk dekat kepada Allah tapi kita tak sedar dan semakin jauh dengan Allah lantas menambah lagi dosa kita, bukankah itu satu bentuk kezaliman? Allah rindu kita tapi kita tak sambut rindu Allah sebaliknya kita sambut rindu mereka yang tidak halal bagi kita, bukankah itu satu bentuk kezaliman? Allah beri ujian dan setiap ujian ada hikmah disebaliknya tapi kita langsung tidak fikir sedangkan salah satu fungsi akal adalah untuk memikirkan hikmah ujian Allah, bukankah itu juga satu bentuk kezaliman? Disebalik ujian Allah pasti ada satu hikmah yang besar sama ada kita sedar ataupun tidak kerana Allah tidak pernah memungkiri janji.

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan)yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya. (Mereka berdoa), “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.”
[Surah Al-Baqarah, 2:286]

Kawan-kawan, bagi siapa yang merasakan dirinya kurang diuji, jangan rasa selesa kerana dibimbangi nikmat kesenangan yang Allah berikan merupakan satu istidraj (sesuatu nikmat kurniaan Allah untuk menambah lagi kesesatan manusia) bagi diri kita. Justeru, biar dimana pun kita berada, apa pun yang kita buat dan apa pun yang berlaku pada diri kita, itu adalah wasilah (cara) tersendiri yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya mengikut kemampuan hamba-hamba-Nya untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Kembalilah kepada fitrah kita sebagai hamba untuk mengabdikan diri kepada Allah dan sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi. Jadikan bidang yang kita ambil sekarang ini jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Bagaimana cara untuk menjadi seorang hamba yang  bersyukur?  Sama-samalah kita tingkatkan rasa syukur kita kepada Allah S.W.T.. Dan untuk menzahirkan rasa syukur bukanlah dalam bentuk ucapan tahmid (Alhamdulillah) sahaja tapi setiap perbuatan dan amalan seharian perlulah menggambarkan rasa syukur kita kepada Allah seperti membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?
[Surah Al-Ankabut, 29:2]

Tuhan… Dosaku menggunung tinggi tapi rahmatMu melangit luas
Tuhan.. Harga selautan syukurku hanyalah setitis nikmat-MU di bumi.
Dan bila selangkah ku rapat pada MU, seribu langkah KAU rapat padaku…
(Mengemis Kasih – Nazrey & Far East)



Ya ALLAH Ya Tuhanku…
 Jadikanlah kami hamba-Mu yang sentiasa mensyukuri nikmat-Mu.
Amin ya Rabbal ‘Alamin


Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami.
[Surah Al-Anbiya’, 21:35]

No comments:

Post a Comment