Monday 27 May 2013

Jejak Pertama di Hospital



Setahun, itulah umur aku ketika pertama kali dimasukkan ke hospital kerana sakit kronik. Semenjak dari itu, hospital bagaikan rumah ke-2 buat aku. Hidup ketika itu bagaikan dikongkong, segala semua perkara yang melibatkan aktiviti fizikal boleh menyebabkan aku terlantar di katil wad, jarum di tangan, bantuan pernafasan di sebelah. Itulah rutin hidupku selama hampir 8 tahun, berulang-alik ke hospital. Tetapi itu semua berubah setelah aku kehilangan insan yang sentiasa tersenyum, sentiasa membantu, sentiasa memberi sokongan dan sentiasa mendidikku serta keluarga, insan yang menjadi tulang belakang seluruh keluarga. Aku masih terbayang akan hari aku diberitahu tentang pemergian dirinya, sahabat karibku, ayah kesayanganku.

“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan”
(Al-Anbiya : 35)

Kehidupan sesudah itu sangat sukar untuk dibayangkan, tetapi setiap kejadian yang berlaku adalah mengikut susun aturnya, PASTI ada hikmahnya. Aku semakin sembuh, ‘Abah pergi tapi ….. dengan adik makin sihat, itu pun dah cukup’. Aku terdiam ketika itu, patah segala ayat, bisu jadi mulut, terhalang airmata dari mengalir.

“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya: sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”
(Al-Hadiid : 22)

Namun, perjalanan hidup perlu diteruskan. Pabila umurku kini sudah menginjak 20 tahun, sebahagian besar kehidupan ketika kecilku, kehidupan ketika di hospital terutamanya, masih kekal dalam ingatan.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”
(Al-Baqarah : 155)

Perbualan dengan sahabatku membuat aku terfikir bahawa aku sebenarnya tidak pernah meninggalkan suasana hospital itu. ‘Bukankah hidup ini sama seperti hospital?’, aku tenggelam dalam fikiranku sendiri.

“Dan DIA lah yang menjadikan bumi terbentang luas dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan ALLAH bagi kaum yang (mahu) berfikir”
(Ar-Ra’d : 3)

Kenapa kehidupan sama seperti suasana hospital? Kerana beberapa persamaan yang mudah.



Penyakit = Ujian Hidup

Jika difikirkan sedalam-dalamnya, apalah gunanya hospital, doctor, pesakit, ubat dan lain-lainnya jika tiada penyakit yang wujud di dunia ini. Samalah juga dengan ujian hidup. Apalah gunanya hidup ini jikalau tiada ujian dikurniakan ke atas kita, hambaNYA.

Pesakit = Manusia (diri kita sendiri)

Mereka yang menghidupkan hospital adalah pesakitnya, dan ia sama sahaja seperti kita yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk menghidupkan bumi ini sebagai khalifah.

Ubat = Al-Quran dan hadis

Ubat yang diberikan berfungsi untuk menyembuhkan dan menjauhi kita daripada sebarang penyakit. Ia bagaikan Al-Quran dan hadis yang menjadi petunjuk jalan untuk membantu dan mempersiapkan diri kita dalam menghadapi segala macam ujian hidup serta meningkatkan keimanan kita terhadapNya. Untuk memastikan penyakit (ujian) berjaya dirawat, ubat tersebut disertakan sekali dengan dos (pengajaran) yang bersesuaian yang mana memerlukan kita untuk sentiasa disiplin (istiqamah) dalam mengambilnya.

Daripada Abu Amru yang dikenali juga dengan Abu Amrah iaitu Sufian bin Abdullah as-Saqafi RA katanya, “Wahai Rasulullah katakanlah kepadaku mengenai Islam dengan jelas supaya aku tidak perlu lagi bertanya kepada seseorang selain daripada engkau.” Sabda Rasulullah, “Katakanlah, aku beriman kepada Allah kemudian berpegang teguhlah di atas jalan yang lurus.”
(Riwayat Muslim)

Jururawat/Pelawat = Insan sekeliling

Ketika di hospital, dua watak ini mempunyai sesuatu persamaan iaitu kedua-duanya saling memerhati dan memastikan kedudukan keadaan kita dan selalu juga menasihati kita supaya menjaga kesihatan. Dalam realiti kehidupan, kedua-dua watak ini bagaikan insan disekeliling kita sama ada keluarga, guru, rakan mahupun orang yang kita tidak kenali. Mereka akan sentiasa menegur dan menasihati kita bagi memastikan kita sentiasa menjadi lebih baik dari yang semalam. Kewujudan mereka, lama atau sebentar, pasti ada kesannya di dalam hidup kita.

Peralatan/Teknologi = Perkara lain disekeliling

Teknologi dan peralatan di hospital digunakan bagi melancarkan pengurusan hospital, memberi keselesaan kepada pesakit, memudahkan urusan penyembuhan sesuatu penyakit. Di dalam kehidupan seharian pula, semua perkara disekeliling kita, baik alam semulajadi, meja, buku, handphone dan sebagainya adalah alat untuk membantu kita dalam semua perkara. Jika diteliti sebaiknya, alat-alat ini juga adalah hadiah daripadaNya untuk kita gunakan ke arah yang lebih baik.


Dan, akhir sekali, satu watak yang sangat penting dalam satu-satu organisasi hospital..

Doktor = Penyampai

Tugas sebagai seorang doktor tidak perlu dijelaskan kerana semua pasti sudah arif mengenainya. Melayari kehidupan seharian, sedar atau tidak, tugas doktor itu sebenarnya menyamai tugas seorang penyampai yakni orang yang lebih mengetahui tentang sesuatu perkara. Penyampaian itu pula bukan hanya terletak pada kata-kata, tetapi dari segi perbuatan juga dan penyampaian itu pula tidak hanya datang dari seorang ustaz mahupun ustazah kerana penyampaian itu boleh hadir dari sesiapa sahaja tidak mengira agama, pangkat, harta, warna kulit, bahasa dan lain-lain. Jika dijadikan perbandingan dengan realiti kehidupan kita, buat insan yang bergelar doktor atau bakal menjadi doktor, tugas mereka sebagai penyampai bagai digandakan....


“Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Benar, persamaan yang dinyatakan ini hakikatnya jauh daripada realiti hidup yang sedang dan bakal kita lalui. Tetapi, ia menyedarkanku sesuatu yang tidak pernah aku faham dan susah untuk aku jelaskan mengenai dugaan dan cabaran ketika zaman kecilku . ‘Kenapa mesti aku yang dapat semua ini?’, ‘Kenapa fizikal aku tak sekuat yang lain?’, ‘Kenapa aku selalu keluar masuk hospital?’, kenapa itu, kenapa ini dan setiap persoalan kenapa itu pasti kearah yang lebih negatif  tetapi keadaan dan pengalaman ketika itu jugalah membuatkan aku berfikir sendiri pada saat ini sehingga ia membuatkanku tersedar akan jejak pertama aku di hospital secara realiti. Sehingga kini, aku masih berada di dalamnya dan akan akan kekal berada didalamnya selagi roh dibenarkan olehNYA untuk  menghuni jasad ini.



Semoga bermanfaat. JZKK. Assalamualaikum.