Monday 11 February 2013

My Love The Series Part 2


Sudah 2 tahun berlalu, aku dan “my love” kedua masih bersama. Tetapi selepas SPM aku melanjutkan pelajaran di sebuah university di kota. Oleh kerana itu, aku dan dia semakin jauh kerana sama-sama busy dalam study masing-masing. Di dalam tempoh kami berjauhan, aku terasa seperti déjà vu kerana dipertemukan dengan seorang yang keterampilan dan perwatakannya mirip “my love” yang kedua. Cara dia mendekatkan dirinya kepada aku pun sama seperti “my love” yang kedua. Tetapi pada fikiranku mungkin kerana aku lebih matang pada waktu itu, perkenalanku kepada “my love” yang ketiga inilah yang mengubah paradigma paling besar dalam hidupku. Lama kelamaan perkenalanku dengan “my love” yang ketiga ini  diketahui oleh “my love” yang kedua. Dia hanya tersenyum apabila mengetahui hubungan kami dan beberapa bulan selepas itu, baru aku mengetahui bahawa mereka berdua sebenarnya saling berhubung. ”My love” yang ketiga yang menceritakan kepadaku bahawa dia telah dipesan untuk menjagaku oleh” my love”yang kedua.
Aku pada ketika itu sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana dipertemukan dengan orang-orang yang baik sebegini di dalam hidup aku. Pertemuan ini  memberiku peluang merasai nikmat tarbiyah. Sebenarnya, ”my love” yang pertama, aku telah bersamanya selama 15 tahun. Kami berdua sama-sama mempunyai  mata yang kecil, bentuk hidung yang serupa, cara ketawa yang sama kerana “the one and the only truth is”dia sebenarnya merupakan abang kandung aku . ”My love” yang kedua pula sekiranya abangku masih hidup dia sepatutnya menjadi kakak iparku.



Sesungguhnya Allah itu lebih mengetahui apa yang terbaik buat para hambanya.

“Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”.
(At-Talaq : 3)

Kerana ketentuan-Nya aku dikurniakan seorang kakak (“my love” yang kedua) setelah kehilangan seorang abang. Seperti yang diceritakan sebelum ini, pertemuan aku dengan “my love” kedua pada setiap hujung minggu  itu sebenarnya adalah usrah dan rakan-rakan dia yang baik dan mengambil berat yang aku maksudkan sebenarnya adalah kakak-kakak yang aku kenal semasa mengikuti usrah. ”Date” kami berdua pula sebenarnya adalah program keagamaan, daurah, rehlah, ceramah dan sebagainya. Oleh kerana “my love” yang kedua telah memperkenalkan aku kepada usrah, aku dipertemukan pula dengan “my love” yang ketiga sewaktu usrah aku di university.
Ya kisah hidupku mungkin seperti emm.. drama atau sinetron? Pertemuan demi pertemuan dengan tiga insan yang aku gelar “my love” diumpamakan seperti ber”series”. Tetapi

Setiap series membawa makna yang besar dalam hidupku. 
Setiap series membawa aku mengenal erti cinta yang lebih hakiki iaitu yang Maha Esa.
Setiap series mengenalkan aku dengan kasih yang sejati melalui perhubungan ukhwah fillah.
Setiap series memberikanku ketenangan melalui nikmat tarbiyah.

Kalau dahulu aku mudah sahaja menangis kerana terlalu rindukan arwah, tetapi sekarang aku mudah tersenyum dan lebih ceria kerana aku sudah berazam untuk menemuinya di syurga jika diizinkanNya, Insya Allah...
“Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedangkan dia beriman, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalas dengan baik”.
(Surah al-Isra’ :19)

No more tears but more doa’ and amal.




Terima kasih kepada tarbiyah, aku peroleh sesuatu ketabahan, kematangan dan ketenangan jiwa yang luar biasa. Walaupun kini aku jauh dari ahli keluarga, tarbiyah membuatkan aku tidak berasa keseorangan kerana ditemani dengan akhwat-akhwat yang memberiku kekuatan dalam perjalanan mencari keredhaanNya.
 Walaupun drama hidupku ini tidaklah layak 'Award Winning' namun Alhamdulillah..selepas kehilangan abangku, aku dipertemukan dengan ramai orang yang sangat baik dan itu adalah award (baca:anugerah) yang sangat berharga kurnianNya... Dan orang-orang yang aku kenal dalam meyelusuri liku-liku perjalanan tarbiyah ini. Dan salah seorang daripadanya adalah insan yang berada dihadapan aku, sedang menghirup coffee sambil khusyuk mendengar aku bercerita mengenai semua ”my love”  yang pernah berada disamping aku. Dia yang menjadi pendengar setia itu adalah kakak usrahku sekarang.

*IAmtullah*

Wednesday 6 February 2013

My Love The Series : Part 1

Bagaimana Aku Kenal Tarbiyah:


Bandar ini mula menghampiri musim dingin.Malangnya sedingin-dingin mana pun musim ini membeku, tidak akan terhasil pun kepulan-kepulan asap dari mulut,tingkap bilik pun tidak akannya penuh dengan  “snow flake” melainkan erkk,, bulu burung merpati? Hehe. Malam ini terasa sungguh kesejukannya dan dia mengajakku untuk menemaninya  menghirup secawan coffee. Peperiksaan dia semakin menjelang dan sudah seminggu kami tidak berjumpa. Oh rindunya! Kami baru berkenalan selama 2 bulan lebih, tetapi perasaanku terhadap dia sangat luar biasa.
 


Kami bertukar cerita dan tiba tiba atmosphere berubah apabila dia tiba-tiba bertanyakan tentang “my love” dahulu. Bagaimana kami bertemu? Sejauh mana rapatnya kami dahulu? Hmm,,tanpa berfikir panjang aku mula memberitahu bahawa “my love” yang dia maksudkan bukan yang pertama bagiku, malah ada lagi sebelum itu. Dia bertanya “Bukan yang pertama? Jadi sebenarnya berapa orang sebelum saya?” Aku jujur mengatakan, selepas aku kehilangan seseorang, aku dipertemukan dengan ramai orang. Dan orang-orang itu sangat menyayangi dan mengambil berat terhadapku. Setelah mengetahui hal sebenar dia pun tersenyum.

Pada malam itu, tergerak hati aku untuk menyelusuri kembali perjalanan hidupku yang membawaku sehingga ke sini, jauh dari tanah air sendiri. Kerana kepercayaanku kepada dia, aku mula membuka kisah-kisah lalu dan aku sangat gembira kerana dia seorang pendengar yang setia. Kisah hidupku bermula dengan hubunganku dengan "my love” yang pertama. ”My love” yang pertama kacak orangnya, ala-ala muka Bae Yong Joon (hero Winter Sonata). Alim, genius, multi-talent memang pek kombo yang lumayanlah kata orang. Cuma dia kekurangan satu elemen sahaja dalam dirinya. Dia jenis yang tidak pandai meng-expresskan perasaannya, tetapi aku yakin yang dia sangat menyayangiku. Dia sering menasihatiku mengenai soal agama, soal berpakaian dan ibadat. Segala teguran yang diberi penuh berhikmah. Segala apa yang dipelajari ketika dia mengikuti usrah, dia akan menceritakan kembali kepadaku. Sikapnya itu semakin lama semakin mempengaruhiku juga untuk berhijrah ke arah yang lebih baik. Tetapi apa yang berlaku semua ada hikmahnya. Jodoh kami tidak lama kerana ternyata Allah lebih menyayanginya. Kehilangannya di dalam satu tragedi kemalangan jalan raya ternyata mengugat ketabahanku. Ketika itulah terasa saat-saat hidup digoncang, hidup menjadi gelap kerana dalam sekelip mata aku kehilangannya.


Ya Allah! aku sangat menyayanginya

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan”. 
(Surah Al-Anbiyaa’ : 35)
 
 
Sehari selepas pengebumian “my love” yang pertama, aku dihadirkan dengan satu pertemuan yang tidak disangka. Seorang kawan kepada  arwah memperkenalkan dirinya kepada aku. Arwah pernah menceritakan kepada aku mengenai kawannya ini. Tetapi ini kali pertama kami bertemu. Perkenalan kami membawa kepada satu perhubungan yang lebih rapat. Di setiap hujung minggu, kerana kolejnya berdekatan rumahku, dia akan mengajak aku untuk berjumpa. Pada mulanya aku tidak boleh membuka hati aku untuk dia kerana perhubungannya dengan arwah. Tetapi lama kelamaan kerana sikapnya yang sangat mengambil berat,aku mula menyukainya. Hampir setiap hujung minggu aku akan mengikutinya berjumpa dengan rakan-rakannya yang lain. Ternyata rakan-rakannya yang lain juga sangat baik dan aku sangat terharu dengan perkenalan ini. Di dalam hatiku, jarang pada zaman ini ada orang yang sangat mengambil berat terhadap orang lain seperti keluarga sendiri sedangkan waktu perkenalan kami sangat singkat. Jadi setiap kali dia mengajakku untuk berjumpa rakan-rakan dia atau apabila dia mengajakku untuk “date”,aku sedia mengikutinya. Kehadirannya sedikit sebanyak mengisi kekosongan yang ditinggalkan arwah dan dialah orang yang memberiku semangat untuk bangkit dari kesedihan selepas permergian arwah. Dia adalah “my love” yang kedua.

BERSAMBUNG

*I.Amtullah*