Thursday 23 August 2012

Zikir dan Fikir




ZIKIR DAN FIKIR

“Ku mengharapkan ramadhan kali ini penuh makna, agar dapat ku lalui dengan sempurna”

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani. Assalamualaikum semua.

Kini kita di akhir bulan sha’aban yang mana menandakan “MEGA SALE” akan menjelma tak lama lagi.
Mari kita sama-sama melafazkan doa agar dipanjangkan umur untuk bertemu dengan bulan ramadhan dalam memburu malam lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan.

                “ Hmmmhhh… beberapa hari lagi nak finals… pastu, Program foundation habis…” mungkin di saat ini, ada yang sudah membayangkan masa depan mereka, ada yang terfikirkan ayah dan bonda, dan ada juga yang sudah beria-ria untuk ‘FLY’ sebab tidak pernah naik belon (kapal terbang). Mungkin juga ada diantara kita yang sudah menanam cita-cita memburu malam lailatulqadar yang akan datang. Mungkin ada yang sudah terngiang-ngiang sanak saudara bermain marcun di halaman kampung dek dekatnya hari raya aidilfitri. Mungkin dan mungkin….Pasti sudah banyak bayangan yang terlintas difikiran selepas tamatnya program foudation di MSU bukan?



                Walau apapun yang terlintas di pemikiran, kita hendaklah bersyukur dahulu disebabkan Allah S.W.T telah membenarkan kita untuk menjejakkan kaki sehingga ke saat dan detik ini. Moga-moga dengan kenikmatan yang dikurniakan dan kesyukuran yang diberi itu, Allah S.W.T. akan  menambahnya lagi. InsyaAllah.



Jadi, saudara-mara sekalian.

                Sebagai seorang individu muslim, adalah menjadi kewajipan kita untuk sentiasa mengingatkan antara satu sama lain agar tidak alpa akan kewujudan Allah S.W.T. Kalimah La’ilahaillallah itu sendiri terkandung 24 huruf yang melambangkan sepatutnya kita ingat kepada-Nya 24 jam. Mungkin ada yang terlintas di fikiran, “Cakap memang senang nak ingat Allah S.W.T. setiap masa, tetapi nak lakukan itu yang payah!!” Urmmm… Jika dilihat kehidupan diri sendiri, sudah tentu benar apa yang dikatakan tadi. Walaupun mulut dan hati ini jaraknya sejengkal je, tapi nak masuk apa yang dikatakan dimulut itu kedalam hati itu sendiri sangat susah. Namun, perlulah diingat, ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana tiada apa yang mustahil didunia ini jika Allah S.W.T berkata kun fayakun. Tetapi, dek kelemahan manusia untuk menghayati setiap yang diperkatakan itu lah yang membuatkan syaitan tetap menggunakan kelemahan tersebut sebagai peluang terbesar untuk memburu “The Soldier of Allah” iaitu hamba-Nya,  masuk bersama mereka ke dalam neraka. Rasulullah S.A.W. bukankah sudah menggariskan beberapa cara bagi kita umatnya mengelakkan kelemahan diri kita daripada dipergunakan oleh syaitan?

Di dalam surah Al-Mulk Ayat 19

“Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang mengembang dan menutupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya(di udara) selain Yang Maha Pengasih. Sungguh, Dia Maha Melihat segala sesuatu”

Cuba compare dengan Bernoulli’s principle. When the velocity increase, the pressure decrease. Tetapi siapa yang beri kuasa kepada teori ini menjadi applicable? Alam ini tidak ada akal untuk berfikir teori mana yang digunakan bagi menggerakkan bumi ini, apatah lagi kita manusia yang lemah ini boleh mengawal Hukum Alam.

“Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan,tidak dipakai (mahjura)”

(Surah Al-Furqaan: 30)


Kesinambungannya, petikan pada kali ini ditujukan kepada pembaca yang akan meneruskan pelajaran ke menara gading, agar tidak lupa kepada-Nya. Janganlah kita menjadi orang yang tergolong dalam golongan yang dikatakan oleh junjungan Rasulullah S.A.W. iaitu golongan “mahjura”. Jangan disebabkan kebijaksaan kita, membuatkan kita tidak empunya perasaan akan kekerdilan diri sebagai hamba Allah dibumi ini. Bukankah kebijaksanaan yang menjadi keistimewaan manusia adalah kurniaan daripada Nya supaya kita sentiasa berfikir akan NYA? Didiklah diri kita dari sekarang sampai ke liang lahad kerana Rasulullah S.A.W. sendiri pun sentiasa dididik oleh Allah S.W.T. apatah lagi kita. Seandainya saudara yang dikasihi tidak mampu untuk menitiskan air mata kerana memikirkan tentang kebesarannya, sekurang-kurangnya titiskanlah ia kerana tidak mampu untuk berbuat demikian.

++++++++++++++++++++++

“Kebijaksanaan mereka tidak membuatkan mereka mampu untuk berfikir tentang kebesaran Allah dan menundukkan hati mereka terhadap-Nya, bukankah itu menyedihkan. Akhirnya dunia sahaja ditatang, akhirat hilang berciciran”    
- Hilal Asyraf-


+++++++++++++++++++++++

Rasulullah S.A.W menitiskan air mata ketika melafazkan ayat, Surah Al-Imran ( 190-200) ini di hening pagi. Apa kata kita kaji ayat ini secara tartil (iaitu satu persatu dan benar) mengapa Rasulullah S.A.W, sangat terkesan akan ayat ini.

+++++++++++++++++++++++

Al Quran menjelaskan bahawa di hari Kemudian nanti Rasulullah SAW akan mengadu kepada Allah swt. Baginda berkata, “Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku / umatku telah menjadikan al Quran ini sebagai suatu yang “mahjura” 
(Al Furqaan 25:30)
Menurut Ibn al Qayyim, banyak hal yang dicakup oleh kata “mahjura”, antara lain:

1.       Tidak tekun mendengarkannya

2.       Tidak mengendahkan halal dan haramnya walau dipercaya dan dibaca.

3.       Tidak menjadikannya rujukan dalam menetapkan hukum menyangkut usuluddin (prinsip-prinsip ajaran agama) dan perinciannya.

4.       Tidak berupaya memikirkan dan memahami apa yang dikehendaki oleh Allah yang menurunkannya.

5.       Tidak menjadikannya sebagai ubat bagi semua penyakit-penyakit kejiwaan.

++++++++++++++++++++++++

Akhir sekali daripada kami, semoga maju jaya dalam membina individu muslim yang OSEM (Ordinary Student, Extraordinary Muslim). Kami dari pihak Soutul Haq juga ingin menyusun jari memohon maaf andai tersilap kata atau tersalah di mana-mana sepanjang penerbitan ini dilaksanakan. Selamat menjalani ibadah puasa buat semua! Jom sama-sama jadikan bulan Ramadhan pada tahun ini lebih baik daripada yang lepas. Wallahu’alam. Assalamualaikum wbt.

Cinta Itu Fitrah


CINTA ITU FITRAH!

Bismillahirrahmanirrahim

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka...." 
(An-Nur :30-31)

Ada yang tanya, macamana nak hindarkan cinta?
Jawapannya, banyak caranya kalau nak hindarkan cinta. Kalau orang itu bukan manusia lah..heh...
Mana boleh hindarkan cinta..!! Sebab, cinta itu fitrah bagi setiap manusia! Jangan hindarkan ia sebaliknya salurkan kepada yang hak, seperti dalam lagu UNIC - Atas Nama Cinta :

Diatas nama cinta….Pada yang selayaknya
Kunafikan yang fana
Moga dalam hitungan…Setiap pengorbanan 
Agar disuluh cahaya redha-Nya

Selalunya, banyak drama-drama Melayu mengisahkan tentang kisah cinta monyet remaja dekat TV. Contohnya, lakonan Nora Danish dan Adi Putra dalam Tentang Dhia dan cerita Vanilla Coklat lakonan Aiman dan Izara Aisyah. Sangat romantik sampai RASA MACAM NAK KAHWIN AWAL! Kebiasaannya semua adalah happy ending. Tetapi realitinya, ada ke cerita cinta yang sehebat mereka pada zaman sekarang? (Errr..ada ke? Macam susah sahaja nak jumpa…)

Realitinya, ramai yang memilih untuk bercinta dengan yang fana, tenggelam dalam fantasi masing-masing mengukir kisah cinta yang "agung". “Memang kami nak kahwin, cuma masanya belum sampai” antara skema alasan yang diberikan. Namun, indah khabar dari rupa. Berapa ramai yang keliru, tiada istilah setia dalam cinta yang fana! Kalau suka, jumpalah ibu bapa. Sayangnya, tiada yang berani, tanda tak bersedia. Kalau tak sedia, kenapa nak bercinta? Bukankah itu membuka pintu zina semata-semata?

Tidak ada istilah terlambat dalam Islam selagi matahari belum terbit di sebelah barat. Menurut hadis Rasulullah, walaupun kita tahu esok hari kiamat, Rasulullah menyuruh kita untuk menanam benih pokok.  Kenapa? Ini melambangkan sesuatu kebaikan itu tetap akan dibalas oleh Allah selagi belum kiamat. Jadi, segalanya terpulang kepada kita sama ada nak berubah ataupun tidak. Cuma, jangan dilewatkan perubahan itu kerana syaitan akan sentiasa menghasut kita dari atas, bawah, kanan dan kiri. Syaitan memang suka kalau anak Adam termakan hasutan dan tumpas di tangannya!

Antara cara untuk mengawal cinta adalah janganlah izinkan diri ini jatuh terlalu dalam dengan cinta yang sememangnya sudah menjadi fitrah andai dirasakan diri belum tiba masanya. Tundukkanlah pandangan bagi sesama bukan muhrim untuk mengelak panahan syaitan. Menjaga pergaulan (ikhtilat) agar tidak ada ruang untuk syaitan menghasut. Bak kata Ustaz Atlizan “ jangan dilayan perasaan itu, sibukkan diri”, paling tidak, beristighfarlah ketika teringat kepada si dia. Dan paling penting adalah berDOADoa itukan senjata terhebat kita, kurniaan dari Allah SWT. Berdoa kepada Tuhan yang memberikan perasaan cinta. Agar, kita dapat dijauhi cinta yang fana.

“Ya Allah, Andai masanya belum tiba, Jangan izinkan aku untuk jatuh cinta,
Aku memohon agar Kau tunjukkan jalan, Agar Kau tunjukkan aku tuntutan yang perlu aku lakukan, Jauhkanlah aku daripada kemaksiatan, Jauhkanlah aku daripada perkara yang tidak dapat memberi manfaat, Dan jauhkan aku daripada perkara yang Engkau murkai,
Agar aku dapat menjaga diri.”

“ Jika wanita itu tahu dirinya adalah seperti bunga syurga yang berharga, tidak sama sekali mudah bagi wanita itu untuk menggugurkan kelopaknya buat kumbang perosak”

TAPI INGAT!

"Perempuan-perempuan yang jahat untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)."(Surah an-Nur, ayat 26)

Jodoh itu ketetapan Illahi, berubahlah kearah kebaikan, nescaya pasangan Mu kelak akan begitu juga…
Sebab itulah kita perlu ‘Menjadi’ yang baik daripada ‘Mencari’ yang baik!

“Jatuh CINTA itu fitraH, ingin bercinta itu FITRAH.
Jika fitrah itu dibawa dengan aliran yang betul, ia 
MULIA.
Jika di alir dengan aliran yang salah, ia 
HINA.”- Ustaz Azhar Idrus -

Nikmat Kurniaan ALLAH SWT





Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum wbt....

Ya Allah jadikanlah kami hamba-hambaMu yang mensyukuri nikmat-nikmatMu.

Kawan-kawan, betapa banyak nikmat yang Allah berikan dalam hidup ini. Tetapi adakah kita bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah? Janganlah sekali-kali mempertikaikan apa yang terjadi kepada diri kita kerana sudah termaktub di dalam kitab suci al-Quran bahawa sesuatu yang kita sukai tidak semestinya baik bagi diri kita dan sesuatu yang kita tidak sukai tidak semestinya buruk untuk kita. Sesungguhnya apa yang terjadi pada diri kita pasti ada hikmah disebaliknya sama ada kita suka ataupun tidak kerana Allah Maha Mengetahui akan apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.

Adakah kita sudah tergolong dalam hamba-hambaNya yang bersyukur? Sama-sama kita nilai diri kita, sudah banyak mana kita bersyukur kepada Allah atas nikmat kurniaanNya. Rasulullah solat sehingga bengkak kaki baginda sedangkan baginda sememangnya dijamin syurga. Kenapa? Baginda solat untuk menzahirkan rasa syukur kepada Allah. Walaupun Nabi Muhammad diuji dengan pelbagai ujian dari hari ke hari tetapi rasa kesyukuran baginda semakin bertambah dari ujian kepada ujian yang lain. Perkara yang sama juga berlaku ke atas sahabat-sahabat baginda ketika zaman pemerintahan Islam. Pelbagai dugaan dihadapi dalam menegakkan agama sesudah kewafatan baginda namun adakah mereka mengeluh? Adakah mereka berputus asa untuk terus mensyukuri nikmat Allah SWT disebalik dugaan yang dihamparkan? Adakah kita begitu sahabat-sahabatku? Memanglah kita tidak akan dapat menandingi Nabi Muhammad SAW serta sahabat-sahabat baginda tetapi sedarkah kawan-kawan, kita sepatutnya lebih mensyukuri nikmat Allah SWT apatah lagi di zaman pasca kemerdekaan ini.


Ujian Allah hanya kecil kepada kita tapi kita sering merungut dan mempertikaikan cinta Allah kepada kita. Tidakkah kita terfikir nikmat Allah selama ini sangat banyak dan tidak terhitung dengan jari dan jika ditulis satu persatu pasti kita tidak akan mampu untuk menulisnya. Tapi ujian Allah yang kita boleh hitung dengan jari inilah yang kita runsingkan, ujian Allah yang hadir sepanjang hidup kita itulah yang dirungutkan. Siapa yang merasakan bahawa ujian pada dirinya lagi banyak dari nikmat Allah? Cuba masing-masing hitung ujian dan nikmat yang Allah bagi pada diri masing-masing. Allah tak bagi aku cemerlang dalam pelajaran, Allah tak bagi aku cinta (orang yang aku suka tak suka kat aku), Allah bagi aku sakit, Allah bagi aku susah nak faham pelajaran…Hrm apa lagi ujian Allah bagi kat kita ya? Masing-masing fikirlah sendiri. Buatlah list panjang-panjang, gunalah sebanyak-banyak mana kertas yang dimahukan.

Okay. Sekarang jom kita kira nikmat Allah pula. Masing-masing cuba list and compare dengan ujian yang Allah bagi tadi. Nikmat Allah: ibu, bapa, kawan, keluarga, kemerdekaan, matahari, air, udara, pokok, hujan, panas, hidung, mata, mulut, telinga, kaki, tangan, hidung, jari, kemewahan; kereta, rumah, duit, pakaian, laptop, phone, makanan, minuman dan macam-macam lagi. Bahkan, sehingga maut menjemput pun kita tidak akan mampu untuk mengira nikmat-nikmat Allah SWT. Tak cukup lagi kah nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita? Tidakkah kita patut bersyukur mempunyai semua nikmat itu berbanding dengan saudara kita yang kurang bernasib baik? Kawan-kawan, sekecil-kecil cell dalam badan kita pun merupakan nikmat Allah yang ternilai kepada kita.

 Cuba bayangkan bagaimana seandainya kita terlebih satu chromosome dalam badan kita. Adakah kita akan wujud dalan keadaan kita hari ini yang serba sempurna? Kalau dah terlebih satu chromosome kat autosome yang ke 21, mungkin kita akan dapat syndrome down!

Bayangkanlah kawan-kawan sekecil-kecil benda merupakan satu nikmat bagi kita sebenarnya. Itu adalah chromosome yang ada dalam cell, basic unit of life. Perkara besar yang ada di depan mata kita sekarang ni pun kita tak rasa itu merupakan satu nikmat. Cuba tepuk dada tanya iman masing-masing, kenapa kita tak sedar akan segala nikmat kurniaan Allah? Wahai bakal-bakal doktor mukminin dan mukminah sekalian, jangan sempitkan fikiran kita! Apa yang menyenangkan kita di dunia ini adalah nikmat dan jangan kawan-kawan fikir bahawa ujian bukanlah satu nikmat.

 Allah uji kita sebab Dia sayang kita. Ujian Allah merupakan satu peringatan daripada Dia sama macam satu panggilan telefon daripada ibu tercinta yang jauh di kampung halaman menelefon kita dan bertanya khabar. Kenapa ibu berbuat begitu? Pasti kerana kasih dan sayangnya ibu kepada anaknya. Begitu juga dengan ujian mahupun nikmat daripada Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Mungkin kita sudah terlalu leka dengan duniawi sampai lupa kat Dia. Bila ditimpa ujian, barulah kita nak mencari Allah., barulah kita nak mengadu padaNYA. Datangnya ujian kepada kita, adalah kerana rindunya ALLAH SWT untuk mendengar rintihan hamba-hambaNya. Jadi, ujian Allah adalah untuk memanggil kita mendekatkan diri kepada Dia. Kawan-kawan, bersyukur dan bersabarlah dengan ujian Allah kerana Allah sebenarnya rindu kepada kita. Tapi kawan-kawan kenapa masih ada dalam kalangan kita yang tidak tahu bersyukur dan masih tidak mengadu kepada Allah saat diri diuji? Tak faham… ALLAH pencipta kita dan Dia rindu kat kita tapi apa yang kita buat? Kita mengadu masalah kepada makhluk Allah juga. Tak salah untuk berkongsi rasa hati tapi kenapa dengan seseorang yang bukan halal bagi kita? Allah dah bagi ujian untuk kita dekatkan diri kepada-Nya tapi kita tambah lagi dosa yang dah bergunung ni!



Ya Allah, Engkau ampunilah kami. Dosa kami sudah menggunung tinggi tapi masih membuat dosa. Ya Allah, bersihkan hati kami dan berilah kami petunjuk-Mu dan rasa ingin kembali kepada-Mu.

Saya nak highlight disini, bagi yang diuji, sesungguhnya Allah merindui dirimu. Allah tahu kemampuan hamba-hamba-nya. Dia tidak akan menguji diluar kemampuan kita. Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya tapi hamba-Nya sendiri yang menzalimi diri sendiri. Kita diberi peluang untuk dekat kepada Allah tapi kita tak sedar dan semakin jauh dengan Allah lantas menambah lagi dosa kita, bukankah itu satu bentuk kezaliman? Allah rindu kita tapi kita tak sambut rindu Allah sebaliknya kita sambut rindu mereka yang tidak halal bagi kita, bukankah itu satu bentuk kezaliman? Allah beri ujian dan setiap ujian ada hikmah disebaliknya tapi kita langsung tidak fikir sedangkan salah satu fungsi akal adalah untuk memikirkan hikmah ujian Allah, bukankah itu juga satu bentuk kezaliman? Disebalik ujian Allah pasti ada satu hikmah yang besar sama ada kita sedar ataupun tidak kerana Allah tidak pernah memungkiri janji.

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan)yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya. (Mereka berdoa), “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.”
[Surah Al-Baqarah, 2:286]

Kawan-kawan, bagi siapa yang merasakan dirinya kurang diuji, jangan rasa selesa kerana dibimbangi nikmat kesenangan yang Allah berikan merupakan satu istidraj (sesuatu nikmat kurniaan Allah untuk menambah lagi kesesatan manusia) bagi diri kita. Justeru, biar dimana pun kita berada, apa pun yang kita buat dan apa pun yang berlaku pada diri kita, itu adalah wasilah (cara) tersendiri yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya mengikut kemampuan hamba-hamba-Nya untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Kembalilah kepada fitrah kita sebagai hamba untuk mengabdikan diri kepada Allah dan sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi. Jadikan bidang yang kita ambil sekarang ini jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Bagaimana cara untuk menjadi seorang hamba yang  bersyukur?  Sama-samalah kita tingkatkan rasa syukur kita kepada Allah S.W.T.. Dan untuk menzahirkan rasa syukur bukanlah dalam bentuk ucapan tahmid (Alhamdulillah) sahaja tapi setiap perbuatan dan amalan seharian perlulah menggambarkan rasa syukur kita kepada Allah seperti membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?
[Surah Al-Ankabut, 29:2]

Tuhan… Dosaku menggunung tinggi tapi rahmatMu melangit luas
Tuhan.. Harga selautan syukurku hanyalah setitis nikmat-MU di bumi.
Dan bila selangkah ku rapat pada MU, seribu langkah KAU rapat padaku…
(Mengemis Kasih – Nazrey & Far East)



Ya ALLAH Ya Tuhanku…
 Jadikanlah kami hamba-Mu yang sentiasa mensyukuri nikmat-Mu.
Amin ya Rabbal ‘Alamin


Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami.
[Surah Al-Anbiya’, 21:35]

Kisah Cinta Kau, Aku Dan Si Dia



Bismillahirrahmanirrahim….Assalamualaikum wbt...

Ya Allah bukakanlah hati-hati kami untuk menerima hidayah dari-Mu dan lembutkanlah hati-hati kami agar sampai kebenaran dihati kami. Ya Allah tunjukkan kepada kami apa yang benar itu benar agar kami dapat mengamalkannya dan tunjukkanlah apa yang batil itu batil agar kami dapat menjauhi perkara tersebut.

Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Insya-Allah saya akan mengulas sedikit mengenai peribahasa ini. Sebelum mengulas panjang, saya mohon kawan-kawan untuk membaca dan cuba membuka minda dan hati biarpun cara penulisan entri ini tidak sebagus entri lain. Memetik kata-kata Saidina Ali r.hu yang merupakan pintu kepada gedung ilmu,

“Janganlah melihat siapa yang berkata, tetapi lihatlah apa yang dikatakan”

Saidina Ali yang bersikap seperti di atas telah membuatkan beliau diangkat oleh Rasulullah sebagai pintu kepada gedung ilmu. Ambillah apa yang nak disampaikan dan bukan mempertikaikan siapa yang menulis entri ini sama dia baik ataupun tak agar kita juga boleh menjadi orang yang berilmu seperti Saidina Ali r.hu

Berbalik kepada peribahasa di atas, kita selalu mengejar sesuatu yang tidak pasti menjadi milik kita dan lupa apa yang ada pada kita. Saya nak kaitkan hal ini dengan cinta yang sangat sinonim dengan kita sebagai remaja. Kita selalu mencari cinta kaum bukan sejenis yang tidak halal bagi kita untuk meluahkan rasa cinta dalam diri kita. Cinta itu tidak salah kerana ia merupakan satu fitrah bagi setiap insan. Namun, kita telah mencemari cinta yang suci dalam debu hasil anugerah Allah ini. Mungkin ada yang cakap ‘saya tidak pernah rasa cinta kat siapa-siapa pun selama ini’, tapi pasti dia tipu. Bagaimana pula rasa sayang terhadap kedua orang tua kita? Bukankah itu juga rasa cinta anugerah Allah? Duhai rakan-rakanku, janganlah memngecilkan erti kata cinta dan sayang itu hanya kepada si dia yang berlainan jantina.



Dalam entri kali ini saya nak kongsi dengan kawan-kawan pasal cinta yang kita ada tapi kita selalu abaikan. Tak kisahlah nak cari cinta lain tapi satu persoalan penting adakah cinta yang dicari itu membawa keredhaan Allah pada kita? Saya nak kita sama-sama sedar bahawa kita sebenarnya ada cinta suci yang dikhianati tanpa disedari! Cinta paling utama yang kita perlu cari tak lain tak bukan, cinta agung pencipta kita iaitu Allah S.W.T. Sombongnya kita kerana tidak membalas cinta Allah dan membiarkan-Nya bertepuk sebelah tangan. Ada antara kita yang tak sedar bahawa Allah mencintai hamba-Nya, lebih daripada seorang ibu menyayangi anaknya seperti yang tercatat dalam hadis Rasulullah SAW,

Dari Umar bin al Khattab RA berkata: “Bahawa beliau datang menghadap Rasulullah SAW dengan membawa beberapa orang tawanan. Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari, lalu ketika ia mendapatkan seorang anak di antara tawanan tersebut, dia langsung mengambil anak itu lalu memeluknya ke perut untuk disusui. Lalu Rasulullah SAW berkata kepada kami: Bagaimana pendapat kamu sekalian, apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api? Kami menjawab: Tidak, demi ALLAH, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya ALLAH lebih mengasihi hamba-NYA daripada wanita ini (mengasihi) anaknya.” 
(Hadis Riwayat Muslim)
Apa bukti Allah cintakan aku?

Banyak bukti yang kita dapat lihat Allah cintakan hamba-Nya! Cuma terpulang pada kita untuk berfikir sejenak kisah cinta yang agung. Allah turunkan al-Quran untuk siapa? Allah perintahkan Nabi Muhammad S.A.W untuk menyampaikan Islam untuk siapa? Bukankah semua itu tanda cinta Allah kat kita? Allah SWT telah menyelamatkan kita dari api neraka dengan rahmat-Nya,

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (Agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat-nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, maka Allah menjinakkan antara hati kamu, lalu menjadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara dan(ingatlah) ketika kamu berada di jurang api neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk".(Al-Imran: 103)

 Kita akan dapat lihat macam-macam lagi perkara yang menunjukkan kasih sayang dan cinta Allah, jika kita berfikir. Allah bagi nikmat akal, gunalah dengan sebaiknya. Tak guna dapat degree dari Most Sophisticated University tapi akal tak guna untuk fikir nikmat dan kebesaran Allah. Akhirnya, kejayaan itu bukan mendekatkan diri pada Allah tapi menjadi istidraj (sesuatu kurniaan Allah untuk menyesatkan lagi) kepada diri kita. 

Cinta kedua yang sering dimadukan oleh kita adalah cinta kepada Rasulullah SAW. Di bibir kata cinta tapi perbuatan kita macam mana? Salah satu syarat untuk mendapat halawatul iman (kemanisan iman) adalah mencintai Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya. Tapi, tanpa sedar kita sudah mencintai benda lain lebih daripada kita mencintai Rasulullah. Contohnya, kita lebih cintakan duit kita, sebab itu kita jarang-jarang infakkan harta kita. Kita juga lebih cintakan dunia dan segala isinya berbanding akhirat yang kekal selamanya. Adakah memadai cinta kita kepada Allah dan rasul-Nya yang macam cinta cap ayam sebagai membalas cinta mereka? Sedangkan bukti cinta kita kepada Allah dan rasul-Nya seharusnya melebihi cinta kepada diri kita sendiri.

Baginda berjuang dan menempuh pelbagai dugaan dalam menegakkan agama Islam. Contohnya di Taif, Rasulullah telah datang dan berdakwah kepada penduduk Taif untuk mentauhidkan Allah. Tapi baginda dibalas dengan cacian, lontaran batu dan dihalau seperti seorang pengemis. Dahi Rasulullah pada waktu itu berdarah sehingga mengalir ke buku lali baginda. Bayangkan wahai sahabat-sahabatku sekalian! Perjuangan bagindalah yang membolehkan kita hidup dalam dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat iman dan nikmat Islam. Cinta Rasulullah terhadap kita sebagai ummatnya tersangatlah besar sehingga di saat kematian baginda, baginda menyebut ‘ummati, ummati, ummati’ (ummatku). Sayangnya Rasulullah kepada kita. Bahagianya bila tahu ada yang mencintai kita!

Namun, apa bukti kita mencintai Allah dan rasul-Nya? Apa amalan kita yang tak seberapa selama kita hidup ini, kita katakan itu adalah tanda cinta kepada Allah jika nak dibandingkan dengan nikmat kurniaan Allah yang tidak terhingga kepada kita? Selalunya, kita berubah demi pasangan yang tidak halal bagi kita tapi bila disuruh berubah kerana perintah Allah, kita katakan belum sampai seru walhal seruan itu sudah datang beribu-ribu tahun yang lalu. Sedarlah, Allah itu Pencipta kita. Cinta itu milik Allah. Jangan sampai Allah tarik cinta ibu bapa, cinta rasulullah dan cinta-Nya dari diri kita kerana keangkuhan diri kita sendiri.
__________________________________________________

Rakan-rakanku yang dikasihi keranaNya,
Jangan sampai suatu saat Rasulullah tidak mengaku kita ummatnya, baru kita nak mencintai baginda.
Jangan sampai suatu saat bila mana taubat kita tidak diterima baru kita terangkak-rangkak mencari cinta dan keredhaan NYA.
Marilah sama-samalah kita bercinta dengan yang selayaknya kita cintai. 
Rasailah nikmat cinta yang diredhai oleh Allah S.W.T dan disenangi oleh kekasih-Nya.
Cinta dunia yang dikejar tidak diperoleh dan cinta dari langit yang sedia ada berciciran. 
Balaslah cinta yang belum terbalas duhai sahabatku sebelum Izrail melakukan tugasnya…

____________________________________________________

Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.
(Ibrahim : 34)

Assalamualaikum wbt.. ^^

Taubat itu semudah Ais Batu Campur (ABC)



ASSALAMUALAIKUM WBT

                Taubat ?  Apakah itu taubat ?? Signifikankah dengan diri kita ??? Taubat dari sudut bahasa berasal daripada kalimah ‘tawaba’ yang bermakna pulang atau kembali. Sedangkan taubat dari sudut Istilah pula, bererti pulang atau kembali ke ribaan Allah S.W.T setia tetap berada di pintu-Nya. Taubat merupakan cabang daripada rahmat Allah. Taubat bukan sekadar gerak lidah meminta keampunan, lelehan air mata, perasaan kesal di hati dan azam untuk kembali kepada Allah S.W.T dalam hal keadaan suci dan bersih. Taubat sebenarnya menzahirkan sifat kehambaan kepada Allah kepada Khaliqnya. Kerana itulah Rasulullah S.A.W banyak bertaubat kerana Baginda adalah seorang insan kamil dari sudut menyerlahkan sifat seorang hamba. Dengan taubat terangkat sifat rendah diri(tawaduk), berhati-hati(warak) dan sikap ingin menjadi lebih baik(ihsan). Ia juga adalah tawaran Allah kepada hamba-Nya agar mereka kembali kepadanya setelah mereka melakukan dosa atau maksiat. Rasulullah SAW bersabda :

“Sesungguhnya Allah membuka tangan-Nya di malam hari untuk menerima taubat orang yang melakukan dosa di siang hari dan membuka tangan-Nya di siang hari untuk menerima taubat orang yang melakukan dosa di malam hari. Keadaan ini berlaku sehinggalah matahari terbit dari arah barat”. 
(Riwayat Muslim no. 2759)



                Tidakkah kita begitu beruntung menjadi hamba Allah kerana berdasarkan hadis di atas, Allah dengan tangan yang terbuka menerima taubat hamba-Nya. Walaupun kita sering melakukan dosa itu, Allah tetap menerima taubat hamba-Nya sampai hari Kiamat! Allah dengan sifatnya yang Maha Pengampun memang tidak sama dengan sikap manusia yang apabila seseorang meminta maaf atas kesilapan yang sering diulang, tentu kita akan marah orang itu oleh sebab dia tidak faham bahasa. Tetapi Allah bukan macam itu, Dia akan membalas dengan setimpal kebaikan seseorang walaupun hanya sebesar zarah!

Apakah pula hukum taubat? Wajib? Sunat? Harus? Hukum bertaubat tak lain dan tak bukan adalah WAJIB . Ini berdasarkan beberapa ayat Al-quran dan hadis Rasulullah SAW.

Firman Allah S.W.T. :

“Dan bertaubatlah kamu keseluruhannya kepada Allah wahai orang-orang beriman semoga kamu mendapat keuntungan.” 
(Surah An-Nur: 31)

“Dan mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah bertaubat kepada-Nya, sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang, Maha Pengasih”
(Surah Hud: 90)

Selain itu, terdapat riwayat yang mengatakan orang yang tidak bertaubat , mereka adalah orang-orang yang zalim.

Firman Allah S.W.T.  :
 “  Dan barang siapa yang tidak bertaubat,maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
(Al-Hujurat : 11)

Maka jelaslah bahawa taubat adalah wajib bagi setiap orang yang mengaku dirinya sebagai seorang Islam. Jika tidak mereka adalah golongan yang zalim. Sementara orang-orang yang zalim tidak akan memperoleh kejayaan(Surah Yusuf: 23), tidak dikasihi Allah( Ali-‘Imran: 57 ) dan tidak diberi petunjuk-Nya (Al-Maidah:51). Bahkan mereka itu tidak akan terselamat dari api neraka sepertimana firmanNya;

“Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam neraka dalam keadaan berlutut”. 
(Maryam 72)



                Dalam konteks kita sebagai orang muda yang masih mempunyai tenaga dan masa, taubat perlulah dilakukan dari usia muda bukan menunggu saat tua dimana urat-urat menjadi kejang, sendi sudah tidak kuat untuk melakukan ibadah lagipula taubat kepada Allah. Wahai sahabat-sahabatku yang disayangi kerana Allah, siapakah kita untuk menjamin kita untuk terus hidup hingga ke usia tua. Adakah ajal maut ditangan kita ?? Bukankanh mati juga banyak mengejar yang muda? Terlalu banyak kisah-kisah manusia yang tidak sempat untuk kembali ke pangkal jalan kerana menangguh-nangguh taubatnya. Tanpa kita ketahui, taubat yang dilakukan oleh orang muda lebih disukai oleh Allah. Seperti mana dalam sebuah hadis yang bermaksud: 

“Tiada sesuatu yang lebih disukai Allah daripada seorang pemuda yang bertaubat.” 
(Riwayat al-Dailami)

Saya memang nak bertaubat! Tetapi macam mana caranya?

Taubat yang diperintahkan kepada orang beriman ialah Taubat Nasuha yang terkandung di dalam firman Allah S.W.T. ;

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha.” 
(At-Tahrim:8)

Apakah Taubat Nasuha ?  Taubat Nasuha adalah taubat yang tulus dan bersungguh. Ibnu Kathir menyatakan di dalam kitab tafsirnya, ‘Taubat Nasuha ertinya adalah taubat yang sebenarnya dan sepenuh hati, akan menghapuskan keburukan-keburukan yang dilakukan sebelumnya, mengembalikan fitrah jiwa orang yang bertaubat itu serta menghapus keburukan-keburukan yang pernah dilakukan olehnya.

Taubat nasuha mempunyai syarat-syarat yang perlu dipenuhi agar taubat diterima Allah. Diantara syarat taubat ialah menyesal terhadap perbuatan dosa yang telah dilakukan, bertekad untuk meninggalkan sepenuhnya dan tidak mengulangi perbuatan dosa yang telah dilakukan. Jika dosa yang dilakukan berkaitan dengan manusia yang lain kita hendak meminta maaf denggannya. Jika berupa harta benda wajib dipulangkan.

Taubat boleh dimulakan dengan sedar betapa besarnya dosa yang dilakukan. Ini adalah kerana dia telah bersalah kepada Allah, Pencipta Yang Maha Besar. Seperti cerita pada minggu lepas, saudara kita mula bertaubat dengan merasa bersalah atas dosa dia lakukan. Selain itu, kita perlu tanam rasa menyesal dan gerun terhadap balasan yang bakal menimpanya di hari akhirat kelak sekiranya dia tidak bertaubat. Rasulullah SAW bersabda :  Menyesali (dosa) itu adalah taubat . Di samping berniat serta berusaha sedaya upaya menjauhi dan meninggalkan dosa yang telah dilakukan dan bertekad untuk tidak mengulanginya lagi. Walaupun kadang-kala kita mungkin mengulangi dosa itu, jika kita benar-benar menyesal dengan dosa kita, insya Allah, Allah tidak akan menzalimi hamba-Nya dan memberinya taubat nasuha.

Di samping itu, kita juga boleh memperbanyakkan Istighfar setiap masa sehingga kalimah istighfar menjadi zikir. Lafaz yang mudah disebut yang mampu membantu kita di hari akhirat kelak. Bukan wang ringgit, bukan emas, bukan kereta Mercedes yang akan digunakan di hari akhirat. Tetapi segala zikir kita yang menjadi matawang di akhirat kelak.

Selain itu, antara cara mudah untuk bertaubat adalah dengan merapati orang-orang yang soleh. Sebab, orang-orang yang soleh akan menyebarkan virus persekitaran solehah yang juga boleh menjangkiti kita! Bukannya tujuan untuk membezakan kawan-kawan yang soleh dan yang tak soleh, tetapi kita sendiri boleh menilai rakan mana yang banyak mendorong kita ke arah kebaikan atau ke arah sebaliknya. Tetapi, adalah sangat penting untuk kita banyak pergi ke ceramah agama yang sememangnya diberi oleh golongan alim ulama yang soleh di sekitar kita. Dari kita duduk di rumah main ber-facebooking, lagi banyak pahala kita boleh dapat dengar majlis ilmu. Kan hadis Rasulullah SAW menyuruh kita mengejar taman-taman syurga di dunia iaitu majlis ilmu. Bayangkan, takkan kita rela memilih untuk meninggalkan keindahan berada dalam taman syurga di dunia berbanding nikmat duniawi yang sementara.

Penerimaan taubat

                Taubat yang dilakukan oleh seseorang pasti diterima berdasarkan Sunnah Allah S.W.T. terhadap makhluk serta menurut kaitan antara sebab dan musabab yang terdiri di atasnya alam ini. Sesiapa yang mengetahui Sunnah Allah serta disiplinnya yang tetap, dia akan mengetahui bahawa apabila cahaya taubat terpancar,ia akan menghapuskan kegelapan dosa serta kesan-kesannya di dalam hati sepertimana cahaya fajar dan mentari yang menghapuskan kegelapan malam dan sepertimana air dan sabun menghapuskan kekotoran dan daki dari pakaian serta badan.
                
                 *Diambil dari blog ustaz asri
*Allah S.W.T bersifat Maha Pengampun dosa dan Maha Penerima taubat berdasar surah Al- Ghafir ayat ke 25. Allah S.W.T  juga berfirman dalam Al-Quran

“Katakanlah, Wahai hamba-hambaKu yang melampui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.  
(Az-Zumar : 53 )*



Aku dah bertaubat tapi bagaimana aku nak tahu taubat aku itu diterima atau tidak ?

Pertama ialah orang yang bertaubat menjadi jauh lebih baik dari sebelumnya. Jika dahulu dia seorang yang suka minum arak, kini arak telah menjadi satu najis yang perlu dihindari dalam dirinya. Jika dahulu dia seorang yang jauh dengan masjid kini masjid dijadikan sebagai rumah kedua baginya. Kini, walaupun dia dah berkali-kali terlanjur, sekarang dia merasakan betapa kurang cerdik dan jijik perlakuannya dahulu menyebabkan dia menjauhi perbuatan tersebut.

Keduanya, perasaan takut sentiasa menyelubunginya sehingga dia merasakan bahawa dia tidak selamat dari kemurkaan Allah walau sekelip mata. Rasa takutnya berterusan sehingga dia mendengar seruan Malaikat yang diutuskan oleh Allah untuk mencabut nyawanya berkata ;

“Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih dan bergembiralah dengan (memperolehi) syurga yang telah dijanjikan oleh Allah kepada kamu semua”
 (Fushshilat :30)


Ketika itu barulah hatinya menjadi tenang.

Assalamualaikum wbt...