Showing posts with label Rahmat Illahi. Show all posts
Showing posts with label Rahmat Illahi. Show all posts

Monday, 27 May 2013

Jejak Pertama di Hospital



Setahun, itulah umur aku ketika pertama kali dimasukkan ke hospital kerana sakit kronik. Semenjak dari itu, hospital bagaikan rumah ke-2 buat aku. Hidup ketika itu bagaikan dikongkong, segala semua perkara yang melibatkan aktiviti fizikal boleh menyebabkan aku terlantar di katil wad, jarum di tangan, bantuan pernafasan di sebelah. Itulah rutin hidupku selama hampir 8 tahun, berulang-alik ke hospital. Tetapi itu semua berubah setelah aku kehilangan insan yang sentiasa tersenyum, sentiasa membantu, sentiasa memberi sokongan dan sentiasa mendidikku serta keluarga, insan yang menjadi tulang belakang seluruh keluarga. Aku masih terbayang akan hari aku diberitahu tentang pemergian dirinya, sahabat karibku, ayah kesayanganku.

“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan”
(Al-Anbiya : 35)

Kehidupan sesudah itu sangat sukar untuk dibayangkan, tetapi setiap kejadian yang berlaku adalah mengikut susun aturnya, PASTI ada hikmahnya. Aku semakin sembuh, ‘Abah pergi tapi ….. dengan adik makin sihat, itu pun dah cukup’. Aku terdiam ketika itu, patah segala ayat, bisu jadi mulut, terhalang airmata dari mengalir.

“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya: sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”
(Al-Hadiid : 22)

Namun, perjalanan hidup perlu diteruskan. Pabila umurku kini sudah menginjak 20 tahun, sebahagian besar kehidupan ketika kecilku, kehidupan ketika di hospital terutamanya, masih kekal dalam ingatan.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”
(Al-Baqarah : 155)

Perbualan dengan sahabatku membuat aku terfikir bahawa aku sebenarnya tidak pernah meninggalkan suasana hospital itu. ‘Bukankah hidup ini sama seperti hospital?’, aku tenggelam dalam fikiranku sendiri.

“Dan DIA lah yang menjadikan bumi terbentang luas dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan ALLAH bagi kaum yang (mahu) berfikir”
(Ar-Ra’d : 3)

Kenapa kehidupan sama seperti suasana hospital? Kerana beberapa persamaan yang mudah.



Penyakit = Ujian Hidup

Jika difikirkan sedalam-dalamnya, apalah gunanya hospital, doctor, pesakit, ubat dan lain-lainnya jika tiada penyakit yang wujud di dunia ini. Samalah juga dengan ujian hidup. Apalah gunanya hidup ini jikalau tiada ujian dikurniakan ke atas kita, hambaNYA.

Pesakit = Manusia (diri kita sendiri)

Mereka yang menghidupkan hospital adalah pesakitnya, dan ia sama sahaja seperti kita yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk menghidupkan bumi ini sebagai khalifah.

Ubat = Al-Quran dan hadis

Ubat yang diberikan berfungsi untuk menyembuhkan dan menjauhi kita daripada sebarang penyakit. Ia bagaikan Al-Quran dan hadis yang menjadi petunjuk jalan untuk membantu dan mempersiapkan diri kita dalam menghadapi segala macam ujian hidup serta meningkatkan keimanan kita terhadapNya. Untuk memastikan penyakit (ujian) berjaya dirawat, ubat tersebut disertakan sekali dengan dos (pengajaran) yang bersesuaian yang mana memerlukan kita untuk sentiasa disiplin (istiqamah) dalam mengambilnya.

Daripada Abu Amru yang dikenali juga dengan Abu Amrah iaitu Sufian bin Abdullah as-Saqafi RA katanya, “Wahai Rasulullah katakanlah kepadaku mengenai Islam dengan jelas supaya aku tidak perlu lagi bertanya kepada seseorang selain daripada engkau.” Sabda Rasulullah, “Katakanlah, aku beriman kepada Allah kemudian berpegang teguhlah di atas jalan yang lurus.”
(Riwayat Muslim)

Jururawat/Pelawat = Insan sekeliling

Ketika di hospital, dua watak ini mempunyai sesuatu persamaan iaitu kedua-duanya saling memerhati dan memastikan kedudukan keadaan kita dan selalu juga menasihati kita supaya menjaga kesihatan. Dalam realiti kehidupan, kedua-dua watak ini bagaikan insan disekeliling kita sama ada keluarga, guru, rakan mahupun orang yang kita tidak kenali. Mereka akan sentiasa menegur dan menasihati kita bagi memastikan kita sentiasa menjadi lebih baik dari yang semalam. Kewujudan mereka, lama atau sebentar, pasti ada kesannya di dalam hidup kita.

Peralatan/Teknologi = Perkara lain disekeliling

Teknologi dan peralatan di hospital digunakan bagi melancarkan pengurusan hospital, memberi keselesaan kepada pesakit, memudahkan urusan penyembuhan sesuatu penyakit. Di dalam kehidupan seharian pula, semua perkara disekeliling kita, baik alam semulajadi, meja, buku, handphone dan sebagainya adalah alat untuk membantu kita dalam semua perkara. Jika diteliti sebaiknya, alat-alat ini juga adalah hadiah daripadaNya untuk kita gunakan ke arah yang lebih baik.


Dan, akhir sekali, satu watak yang sangat penting dalam satu-satu organisasi hospital..

Doktor = Penyampai

Tugas sebagai seorang doktor tidak perlu dijelaskan kerana semua pasti sudah arif mengenainya. Melayari kehidupan seharian, sedar atau tidak, tugas doktor itu sebenarnya menyamai tugas seorang penyampai yakni orang yang lebih mengetahui tentang sesuatu perkara. Penyampaian itu pula bukan hanya terletak pada kata-kata, tetapi dari segi perbuatan juga dan penyampaian itu pula tidak hanya datang dari seorang ustaz mahupun ustazah kerana penyampaian itu boleh hadir dari sesiapa sahaja tidak mengira agama, pangkat, harta, warna kulit, bahasa dan lain-lain. Jika dijadikan perbandingan dengan realiti kehidupan kita, buat insan yang bergelar doktor atau bakal menjadi doktor, tugas mereka sebagai penyampai bagai digandakan....


“Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Benar, persamaan yang dinyatakan ini hakikatnya jauh daripada realiti hidup yang sedang dan bakal kita lalui. Tetapi, ia menyedarkanku sesuatu yang tidak pernah aku faham dan susah untuk aku jelaskan mengenai dugaan dan cabaran ketika zaman kecilku . ‘Kenapa mesti aku yang dapat semua ini?’, ‘Kenapa fizikal aku tak sekuat yang lain?’, ‘Kenapa aku selalu keluar masuk hospital?’, kenapa itu, kenapa ini dan setiap persoalan kenapa itu pasti kearah yang lebih negatif  tetapi keadaan dan pengalaman ketika itu jugalah membuatkan aku berfikir sendiri pada saat ini sehingga ia membuatkanku tersedar akan jejak pertama aku di hospital secara realiti. Sehingga kini, aku masih berada di dalamnya dan akan akan kekal berada didalamnya selagi roh dibenarkan olehNYA untuk  menghuni jasad ini.



Semoga bermanfaat. JZKK. Assalamualaikum.

Monday, 11 February 2013

My Love The Series Part 2


Sudah 2 tahun berlalu, aku dan “my love” kedua masih bersama. Tetapi selepas SPM aku melanjutkan pelajaran di sebuah university di kota. Oleh kerana itu, aku dan dia semakin jauh kerana sama-sama busy dalam study masing-masing. Di dalam tempoh kami berjauhan, aku terasa seperti déjà vu kerana dipertemukan dengan seorang yang keterampilan dan perwatakannya mirip “my love” yang kedua. Cara dia mendekatkan dirinya kepada aku pun sama seperti “my love” yang kedua. Tetapi pada fikiranku mungkin kerana aku lebih matang pada waktu itu, perkenalanku kepada “my love” yang ketiga inilah yang mengubah paradigma paling besar dalam hidupku. Lama kelamaan perkenalanku dengan “my love” yang ketiga ini  diketahui oleh “my love” yang kedua. Dia hanya tersenyum apabila mengetahui hubungan kami dan beberapa bulan selepas itu, baru aku mengetahui bahawa mereka berdua sebenarnya saling berhubung. ”My love” yang ketiga yang menceritakan kepadaku bahawa dia telah dipesan untuk menjagaku oleh” my love”yang kedua.
Aku pada ketika itu sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana dipertemukan dengan orang-orang yang baik sebegini di dalam hidup aku. Pertemuan ini  memberiku peluang merasai nikmat tarbiyah. Sebenarnya, ”my love” yang pertama, aku telah bersamanya selama 15 tahun. Kami berdua sama-sama mempunyai  mata yang kecil, bentuk hidung yang serupa, cara ketawa yang sama kerana “the one and the only truth is”dia sebenarnya merupakan abang kandung aku . ”My love” yang kedua pula sekiranya abangku masih hidup dia sepatutnya menjadi kakak iparku.



Sesungguhnya Allah itu lebih mengetahui apa yang terbaik buat para hambanya.

“Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”.
(At-Talaq : 3)

Kerana ketentuan-Nya aku dikurniakan seorang kakak (“my love” yang kedua) setelah kehilangan seorang abang. Seperti yang diceritakan sebelum ini, pertemuan aku dengan “my love” kedua pada setiap hujung minggu  itu sebenarnya adalah usrah dan rakan-rakan dia yang baik dan mengambil berat yang aku maksudkan sebenarnya adalah kakak-kakak yang aku kenal semasa mengikuti usrah. ”Date” kami berdua pula sebenarnya adalah program keagamaan, daurah, rehlah, ceramah dan sebagainya. Oleh kerana “my love” yang kedua telah memperkenalkan aku kepada usrah, aku dipertemukan pula dengan “my love” yang ketiga sewaktu usrah aku di university.
Ya kisah hidupku mungkin seperti emm.. drama atau sinetron? Pertemuan demi pertemuan dengan tiga insan yang aku gelar “my love” diumpamakan seperti ber”series”. Tetapi

Setiap series membawa makna yang besar dalam hidupku. 
Setiap series membawa aku mengenal erti cinta yang lebih hakiki iaitu yang Maha Esa.
Setiap series mengenalkan aku dengan kasih yang sejati melalui perhubungan ukhwah fillah.
Setiap series memberikanku ketenangan melalui nikmat tarbiyah.

Kalau dahulu aku mudah sahaja menangis kerana terlalu rindukan arwah, tetapi sekarang aku mudah tersenyum dan lebih ceria kerana aku sudah berazam untuk menemuinya di syurga jika diizinkanNya, Insya Allah...
“Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedangkan dia beriman, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalas dengan baik”.
(Surah al-Isra’ :19)

No more tears but more doa’ and amal.




Terima kasih kepada tarbiyah, aku peroleh sesuatu ketabahan, kematangan dan ketenangan jiwa yang luar biasa. Walaupun kini aku jauh dari ahli keluarga, tarbiyah membuatkan aku tidak berasa keseorangan kerana ditemani dengan akhwat-akhwat yang memberiku kekuatan dalam perjalanan mencari keredhaanNya.
 Walaupun drama hidupku ini tidaklah layak 'Award Winning' namun Alhamdulillah..selepas kehilangan abangku, aku dipertemukan dengan ramai orang yang sangat baik dan itu adalah award (baca:anugerah) yang sangat berharga kurnianNya... Dan orang-orang yang aku kenal dalam meyelusuri liku-liku perjalanan tarbiyah ini. Dan salah seorang daripadanya adalah insan yang berada dihadapan aku, sedang menghirup coffee sambil khusyuk mendengar aku bercerita mengenai semua ”my love”  yang pernah berada disamping aku. Dia yang menjadi pendengar setia itu adalah kakak usrahku sekarang.

*IAmtullah*

Sunday, 27 January 2013

You’re a Man!!!


Bismillahirrahmanirrahim.


Hiasan semata-mata
Aku tersenyum seorang sambil melihat facebookku. Bukannya apa, gambar-gambar masa zaman muda dan comel dulu baru diupload. Bila fikir balik, banyak juga aku dah berubah sejak usia semakin bertambah ini. Semakin matang mungkin. Hoho. 

Nak kenang balik, aku dulu, takdelah nak kata baik sangat. Sejak memasuki sekolah berasrama, aku banyak berubah. Waktu itu solat dah cukup, hari-hari baca quran, puasa sunat Isnin dan Khamis dan macam-macam lagi lah. Bukannya apa, sebab suasana di sekolah asrama kan lain. Lagi-lagi sekolah asrama di serambi Mekah. Peghhh, waktu berada di sekolah asrama adalah antara waktu-waktu paling bahagia dalam dunia ini. Sumpah! 

Cuma, kadang-kadang waktu balik ke rumah masing-masing, adalah juga tergelincir satu dua, tapi tak banyak pun. Al-maklumlah, suasana rumah dan asramakan lain. Keadaan 'terlebih kondusif’ untuk melagha, internet UniFi yang memanggil macam syaitonirajim. Fuuuh, tak akan aku lepaskan peluang ini untuk mengqadha segala yang tertinggal di asrama. Tapi selepas beberapa lama, aku mula berfikir, aku ini munafik ke macam ini? Kalau di asrama bukan main baik lagi solat berjemaah. Tapi kalau di rumah…. 

Sampailah pada suatu hari, aku dapat tawaran untuk sambung belajar di My Special University. Special bukan sebab apa, sebab sejak dari itu, kehidupan aku mula lebih terurus dan bak kata Joseph Rudyard Kipling dalam poem “If” yang kita belajar time SPM, - You’ll be a Man -. Sebab itulah aku terasa semakin matang. Hoho.

 Segalanya bermula selepas cuti raya Aidilfitri. Sebenarnya kami dah lama berkenalan dengan dia, waktu pertama kali berjumpa dengan dia adalah BBQ yang diadakan di tepi jalan hostel kami. Ramai juga kereta yang lalu-lalang kat tepi jalan, nasib baik takde polis datang menahan kami. Hehe. Waktu mula berkenalan, dia jenis pendiam sikit, jadi setiap perkataan dia umpama mutiara berharga 1 lakh keluar dari mulut. Gaya pun lek lek selamba je.


Oleh sebab itu, kami terasa sangat senang dengan dia, tambahan dia memang seorang yang penyayang dan baik. Setiap minggu dia akan datang ke surau kami sambil membawa makanan. Wah! Walaupun makanan ringan je macam roti dan air, tapi yelah, waktu zaman foundation dulu guwe kesempitan uang. Itu yang rasa macam rezeki mai dari langit melimpah-limpah. Kadang-kadang abang itu datang ke hostel kami dan belanja kami minum di restoran bawah, saja-saja sementara menunggu isterinya. Banyak kami borak dengan dia, dari hal ekonomi tentang fractional reserve ke hal agama dan macam-macam lagi. Gaya dia yang tenang dan ramah buat kitorang sangat senang dengan dia.

Cuma yang sedihnya, kadang-kadang sekali lagi, pabila waktu cuti menjelma, aku  terporosok dalam lubang pertahanan  kuno ( Baca: DOTA) yang menghasilkan subuh dinosaur. Aku mula merasakan diri ini macam munafik sekali lagi. Waktu hari sekolah, ada juga kekuatan untuk pergi solat berjemaah isyak di surau. Tapi kalau di rumah, harapan je lah nak pergi, tambahan pula surau tak berdekatan kawasan rumah aku. Tempat terdekat solat jemaah adalah di masjid.

                Selepas dalam 3 bulan berjumpa dengan abang itu setiap minggu, pada suatu hari dia ajak kitorang untuk pergi ke Sunway Pyramid. Wah, ingatkan dia nak belanja main ice skating sekali! Rupa-rupanya, kitorang pergi ke masjid di seberang Sunway Pyramid, ada miscommunication sikit. Hehe. Kebetulan waktu kami tiba, ada beberapa orang abang-abang dari Universiti Penuh Misteri dan kakak-kakak turut serta sekali. 

Katanya, ini adalah sedikit konferens riang kecil-kecilan dan banyak persoalan kitorang akan terjawab di sini. Pengalaman pertama di konferens riang adalah sangat OSEM! Walaupun beberapa kali tersenguk, tapi banyak benda yang kitorang dapat, termasuk gula-gula kopiko. Antaranya adalah tentang tujuan hidup kita. Tentang bagaimana Islam sangat hebat sampai orang kafir sanggup duduk di bawah sistem Islam yang menguasai 2/3 dunia dan macam-macam lagi.

Balik dari konferens itu, baru aku faham, kenapa diri aku kadang-kadang tergelincir dan kadang-kadang mantop. Sebab iman itu sentiasa naik dan turun kan macam ECG lah *Uhuk uhuk*. Walaupun iman itu sentiasa naik dan turun, mesti ada certain tahap resting membrane potential dimana iman kita akan turun, tapi tak rendah sangat sampai tinggalkan perkara wajib. Dan tahap iman ini memerlukan dua perkara penting iaitu suasana persekitaran dan support system.

Disebabkan itu, kedatangan abang itu dalam hidup aku sangat bermakna sepanjang pengajian aku di My Special University. Kedatangan abang itu telah menimbulkan suasana yang islamik dan menjadi pembimbing kami, iaitu support system kami secara tak langsung. Dia adalah guru kami, bapa kami, rakan kami dan ustaz kami. Tanpanya, mungkin aku tak akan faham apa ertinya aku menganut Islam, dan mungkin imanku sedang nyenyak tidur macam snorlex. Tak tahulah bagaimana kehidupanku tanpa tarbiyah. Terima kasih atas sentuhanmu ya murabbi! 
V For Peace





Tuesday, 1 January 2013

Pssstt , saya ada benda nak cakap dengan awak

Bismillah…..

Ada orang kata , "Nak sabar pun ada tahap dia, kita ini bukannya nabi nak sabar sampai macam itu""Dia memang lagi jahat dari Abu Jahal, memang padan muka dia kena sembur".


Dua coretan sebelum ini banyak ditekankan pasal kesabaran dalam berkawan. Tapi macam mana kalau kawan kita memang melampaui batas sampai ke tahap wajib tegur? Apa yang kita kena buat? Tegur jela. Adakah sesenang itu sahaja kita menegurnya? 


Maka dengan sebab rahmat dari Allah(kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka(sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.....
(Ali imran : 159)


 

Untuk memulakan teguran, kita mestilah menunjukkan yang kita sayang dia, dan bukan tegur hanya sebab ego semata-mata. Tidakkah kita sedar, bahawa Iblis yang pernah menjadi penghulu para Malaikat dihalau keluar dari syurga kerana ucapan keramat, "Ana khairu minhu," maksudnya "Aku lebih baik daripada dia!". Disebabkan ego, Iblis dilaknat oleh Allah dan sekali gus dicampakkan ke neraka. Sebab itu, dalam berkawan ini, serendah-rendah tahap adalah berlapang dada. Tanpa berlapang dada, perasaan ego akan mula menebal dan berkarat dalam hati kita macam besi berkarat. Adakah ini yang dimaksudkan friends till jannah?

Selain itu, salah satu cara lain adalah dengan pujian. Manusia itukan suka pada pujian. “Ya Allah, baguslah engkau pada hari ini” ,  atau apa-apa yang sesuai dengan keadaan. Cuma, pastikan itu adalah pujian, bukan sindiran. Situasi macam ini tak ubah macam seorang guru di dalam kelas. Bila cikgu cakap “Diam!!!!!”, makin bising satu kelas tu, tapi bila cikgu cakap “Hah, kenapa tak bercakap? Cakaplah banyak-banyak. Cikgu dah bagi bercakap, tak ada orang pun nak bercakap!”. Cuba bayangkan kalau orang yang ditegur itu jenis keras kepala dan ego, dari hati dia baru nak berubah ke arah lebih baik dan rajin, terus tak jadi. 

"Takpalah, saya cuma mampu menegur dengan hati, apakan daya"


Mengubah dengan hati walaupun selemah-lemah iman, alhamdulillah masih ada iman dalam diri kita. Maksud mengubah dengan hati adalah kita sedar perbuatan itu tak elok, cuma kita belum lagi mendapat kekuatan untuk menegur. Jadi, kita akan sentiasa berasa perkara itu tak patut dan sedikit pun tak redha dengan perbuatan itu. Bukan dengan hanya berkata "Ah biarlah dia, kubur lain-lain nanti". Tapi, kita jangan lupa pula tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. Kerana akan tiba satu hari di mana si Abu akan memanggil rakannya si Ahlul Jannah, untuk meminta pertolongannya! Dan mungkin juga menarik rakannya yang lain untuk ke seburuk-buruk tempat kembali.



"Dan wahai kaumku! Sesungguhnya aku benar-benar khuatir terhadapmu akan (siksaan) hari panggil-memanggil" 
(Al-Ghafir : 32)


Tapi, teknik-teknik di atas adalah untuk menegur yang sejantina dahulu. Sebaik-baiknya seorang Adam itu perlulah menegur melalui rakan Hawa tu. Guna cara halus dulu, kalau tak jadi, barulah ditegur direct, tapi janganlah direct sangat. Biar kaum Hawa yang lebih memahami untuk buat kerja-kerja ini.

Saya sememangnya sangat bangga terutama sekali apabila remaja sendiri merebut untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Kita semua nak menuju untuk menjadi Ustadziatul Alam(world order) macam Barat tu. Siapa lagi kita nak berharap selain bakal-bakal pemerintah Negara ni? Atau kita nak tunggu dan bersorak "Yay! Islam dah menang" nanti?
 
Tapi kalau-kalau kena hambur di akhirnya, janganlah putus asa. Baru kena sound sikit, dah rasa kena campak dalam gaung. Tak apa, kita dah jalankan tanggungjawab kita untuk nasihatkan dia, segalanya selepas itu, diserahkan kepada Allah. Cuba kita muhasabah diri kita sama ada kita menegur sebab kasih dekat dia, atau nak cari kelemahannya?

“Orang-orang yang bertakwa tidak ada tanggungjawab sedikit pun atas (dosa-dosa) mereka, tetapi (berkewajiban) untuk mengingatkan agar mereka (juga) bertakwa.”         
(Surah Al-An’am : 69)

Akhir kata, harap coretan yang diberi mampu membantu anda dalam menghadapi hidup sehari-hari.     
  -UI-

Sunday, 18 November 2012

Ar-Rahim




Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Korang tahu apa maksud Ar-Rahim? Alaa…yang korang selalu ucap bismillahhirrahmanirrahim. Kan ada perkataan ‘RAHIM’ kat situ? Ar-Rahim, salah satu nama dalam Asmaul Husna yang bermaksud Maha Penyayang. 

Dan menurut ahli bahasa, Ibn Faris sendiri, apa-apa perkataan yang terdiri daripada huruf ‘ra’, ‘ha’ dan ‘mim’ membawa maksud kasih sayang, lemah lembut, sopan gemalai bahai lah! Disebabkan itu jugaklah perempuan mempunyai sifat lemah-lembut kerana perempuan mempunyai rahim. So, kalau ada lelaki yang terlebih ‘lemah-lembut’, mungkinkah mereka pun mempunyai rahim?

Dan ingat tak, dari kecil sampai besar, cikgu selalu cakap “Buat baik, nanti Allah sayang.” Tapi apa bukti yang Allah sayang dekat kita? 

Hadis riwayat Umar al-Khattab:
Bahawa dia datang menghadap Rasulullah saw. dengan membawa beberapa orang tawanan. Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari, lalu jika ia mendapatkan seorang bayi di antara tawanan itu, dia langsung mengambil bayi itu lalu mendakapkannya ke perut untuk disusui. Lalu Rasulullah saw. berkata kepada kami: Bagaimana pendapat kamu sekalian, apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api? Kami menjawab: Tidak, demi Allah, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya. Rasulullah saw. bersabda: Sungguh Allah lebih mengasihi hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya. (Shahih Muslim No.4947)



Tiada siapa yang boleh deny kasih sayang ibu terhadap anaknya dan kasih sayang Allah lagi hebat dari itu. Kalau kita buat salah, mungkin ada ibu yang pukul dan mungkin ada yang nasihat. Tapi silap kita waktu itu, mungkin kita ketuk kepala kawan kita dengan pencil case dan mak budak tu pun mengadu dekat mak kita.

Tapi silap kita dengan Allah? Rasanya tak payah diungkapkan dengan kata-kata sebab masing-masing tahu apa silap diri sendiri dengan Allah and yet.....

..sesungguhnya kasih sayang-Ku mengalahkan murka-Ku..
(Sahih Muslim No. 4939)

Dan apabila kita baca tafsir Quran, kita akan nampak betapa cepatnya Allah turunkan kemurkaannya kepada kaum Tsamud, Lut dan kaum ‘Ad. Tapi kita? Umat Rasulullah SAW. Allah bagi kita masa yang saaaaaangat panjang untuk bertaubat. Tak rasa ke kita ini sangat bertuah tapi sangat sombong?



Macam mana pula dengan orang Islam yang ditindas di Palestin, Syria dan lain-lain? Semua sudah cukup menjadi bukti bahawa Allah MAHA Penyayang. Kenapa? Sebab Allah masih bagi kita masa untuk bertaubat sebelum matahari timbul dari barat. Dan Allah juga masih memberi masa bagi mereka yang menindas saudara kita untuk mencari hidayah-Nya. Dan yang paling penting sekali, Allah bagi peluang kepada kita untuk kejar syurga-Nya dengan beramal untuk agama-Nya

Bagi kita hambaNYA, kenapa kita perlu melihat setiap sudut dugaan dan cabaran yang diberikan kepada kita sebagai sesuatu yang tidak elok? Setiap perkara, setiap detik yang kita hadapi sekarang ini adalah kurniaan daripada NYA dan terpulang kepada kita untuk memanfaatkan kurnian itu. Dan di sini dapat dibuktikan yang Allah itu juga bersifat Al-‘Adl.

Akhir kata, harap coretan yang diberi mampu membantu anda dalam menghadapi hidup sehari-hari.
Wallahu'alam.
Assalamualaikum.
   
 -UI-

Sunday, 4 November 2012

Jangan Takut Untuk Berubah


  Bismillahirrahmanirrahim

‘Hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini’



Pernah dengar kata-kata ini? Lepas kita dengar, pada masa yang sama, kita berusaha tanamkan azam walaupun sedikit untuk menjadi lebih baik kan? Namun, adakah usaha kita itu berjaya? Atau sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja? Hakikatnya perubahan itu bukanlah sesuatu yang mudah. Kaedah yang betul serta keazaman yang tinggi perlu ada agar kita tidak berpatah balik ketakuk yang lama. Bagaimana? Jom kita kaji!!

Bila dihati kita terdetik untuk berubah, BERUBAHLAH. Jangan tunggu lama-lama. Nanti lama-lama, semangat itu akan pudar. Teringat kata-kata seorang senior waktu sekolah dahulu;  jika hati tergerak untuk melakukan amal soleh kemudian kita menangguhkannya, kita sebenarnya telah tertipu oleh syaitan. Jangan biarkan syaitan menguasai diri kita lagi. Niat untuk berubah adalah anugerah dari Allah.

 Selepas itu semua terpulang kepada kita sama ada nak ke tak nak. Dan ingat, jangan takut dengan apa orang lain akan cakap atau fikirkan. Itu semua sebenarnya hasutan syaitan nak tarik kita ikut dia. Kalau ada orang yang kutuk atau bersangka buruk dengan perubahan kita, memang dah sah mereka dengki dengan bakal Ahli Sorga.

‘Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.'
(Surah Ar-Ra’d ayat 11)

Perubahan itu haruslah dilakukan secara berperingkat (tadarruj) agar berkekalan. Tidak perlu banyak tetapi berubahlah mengikut kemampuan. Perubahan yang sedikit dan berterusan itu lebih baik daripada perubahan yang drastik tetapi sekejap. Salah satu perubahan yang boleh dilakukan ialah menjaga solat kita. Untuk menjaga solat, benda asas yang perlu dibuat adalah solat sendirian cukup 5 waktu sehari semalam. Ini dikira perkara paling wajib kerana solat itukan tiang agama. Kalau rasa malas nak solat, buatlah yang rukun solat 13 itu sahaja. Sekejap dan mudah kan?



 Lepas dah cukup solat, tambahlah satu waktu untuk solat berjemaah sebab ganjaran dia SANGAT BESAR. Bayangkan, pahala 1 waktu berjemaah lebih daripada pahala 5 hari solat sendirian.  Apabila dah biasa, tambahlah satu per satu waktu berjemaah sampai cukup 5 waktu. Biar ambil masa bertahun, ganjarannya adalah berpuluhan tahun solat. Mengikut perkiraan matematik, pahala 2 minggu solat berjemaah 5 waktu lebih daripada pahala solat sendirian selama setahun. Wow!

‘Hai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak  berputus asa dari rahmat  Allah, melainkan kaum yang kafir.’
(
Surah Yusuf ayat 87)

                Kita sebagai mahasiswa yang mengambil jurusan yang tidak kurang susah memerlukan teknik belajar yang berkesan. Salah satu teknik belajar yang kita sering dengar ialah bangun tengah malam. Selalu buat? Bila kita bangun malam untuk belajar, selitkan dengan solat tahajjud, solat taubat ataupun solat hajat. Insya-Allah, banyak ganjaran yang dijanjikan Allah. Kemudian, kita belajar dan InsyaAllah, dengan rahmat-Nya, kita akan lebih senang untuk fokus dan senang untuk memahami ilmu tersebut. 

Perkara ini mungkin menjadi masalah atau sesuatu yang berat apabila dulu, kita hanya bangun untuk belajar. Tapi kini, kita tambah pula dengan ibadah. Rakan serumah dan keluarga kita pasti tertanya-tanya akan tindakan kita. Biarkan sahaja mereka. IBADAH KITA UNTUK ALLAH SWT. Mungkin senang berkata tapi susah untuk melakukannya. JANGAN RISAU, sebaliknya CUBA DAHULU dan NIATKAN lah KERANA ALLAH SWT. Insya-Allah, akan dipermudahkan segala urusan.

Al-Fudail bin Iyadh berkata:
‘Sesiapa yang memperbaiki hatinya kerana Allah, nescaya Dia akan memperbaiki amal perbuatanmu. Sesiapa yang memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan memperbaiki hubungannya dengan orang lain.’


Jangan takut untuk berubah.
Tabahkan hati.
Kuatkan iman.
Mujahadah itu Pahit kerana,
Sorga itu Manis sangat


Untuk renungan bersama. Insya-Allah.

-nna-