Bismillahirrahmanirrahim….Assalamualaikum wbt...
Ya Allah bukakanlah hati-hati kami untuk menerima hidayah dari-Mu dan lembutkanlah hati-hati kami agar sampai kebenaran dihati kami. Ya Allah tunjukkan kepada kami apa yang benar itu benar agar kami dapat mengamalkannya dan tunjukkanlah apa yang batil itu batil agar kami dapat menjauhi perkara tersebut.
Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.
Insya-Allah saya akan mengulas sedikit mengenai peribahasa ini. Sebelum mengulas panjang, saya mohon kawan-kawan untuk membaca dan cuba membuka minda dan hati biarpun cara penulisan entri ini tidak sebagus entri lain. Memetik kata-kata Saidina Ali r.hu yang merupakan pintu kepada gedung ilmu,
“Janganlah melihat siapa yang berkata, tetapi lihatlah apa yang dikatakan”
Saidina Ali yang bersikap seperti di atas telah membuatkan beliau diangkat oleh Rasulullah sebagai pintu kepada gedung ilmu. Ambillah apa yang nak disampaikan dan bukan mempertikaikan siapa yang menulis entri ini sama dia baik ataupun tak agar kita juga boleh menjadi orang yang berilmu seperti Saidina Ali r.hu
Berbalik kepada peribahasa di atas, kita selalu mengejar sesuatu yang tidak pasti menjadi milik kita dan lupa apa yang ada pada kita. Saya nak kaitkan hal ini dengan cinta yang sangat sinonim dengan kita sebagai remaja. Kita selalu mencari cinta kaum bukan sejenis yang tidak halal bagi kita untuk meluahkan rasa cinta dalam diri kita. Cinta itu tidak salah kerana ia merupakan satu fitrah bagi setiap insan. Namun, kita telah mencemari cinta yang suci dalam debu hasil anugerah Allah ini. Mungkin ada yang cakap ‘saya tidak pernah rasa cinta kat siapa-siapa pun selama ini’, tapi pasti dia tipu. Bagaimana pula rasa sayang terhadap kedua orang tua kita? Bukankah itu juga rasa cinta anugerah Allah? Duhai rakan-rakanku, janganlah memngecilkan erti kata cinta dan sayang itu hanya kepada si dia yang berlainan jantina.
Dalam entri kali ini saya nak kongsi dengan kawan-kawan pasal cinta yang kita ada tapi kita selalu abaikan. Tak kisahlah nak cari cinta lain tapi satu persoalan penting adakah cinta yang dicari itu membawa keredhaan Allah pada kita? Saya nak kita sama-sama sedar bahawa kita sebenarnya ada cinta suci yang dikhianati tanpa disedari! Cinta paling utama yang kita perlu cari tak lain tak bukan, cinta agung pencipta kita iaitu Allah S.W.T. Sombongnya kita kerana tidak membalas cinta Allah dan membiarkan-Nya bertepuk sebelah tangan. Ada antara kita yang tak sedar bahawa Allah mencintai hamba-Nya, lebih daripada seorang ibu menyayangi anaknya seperti yang tercatat dalam hadis Rasulullah SAW,
Dari Umar bin al Khattab RA berkata: “Bahawa beliau datang menghadap Rasulullah SAW dengan membawa beberapa orang tawanan. Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari, lalu ketika ia mendapatkan seorang anak di antara tawanan tersebut, dia langsung mengambil anak itu lalu memeluknya ke perut untuk disusui. Lalu Rasulullah SAW berkata kepada kami: Bagaimana pendapat kamu sekalian, apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api? Kami menjawab: Tidak, demi ALLAH, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya ALLAH lebih mengasihi hamba-NYA daripada wanita ini (mengasihi) anaknya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
(Hadis Riwayat Muslim)
Apa bukti Allah cintakan aku?
Banyak bukti yang kita dapat lihat Allah cintakan hamba-Nya! Cuma terpulang pada kita untuk berfikir sejenak kisah cinta yang agung. Allah turunkan al-Quran untuk siapa? Allah perintahkan Nabi Muhammad S.A.W untuk menyampaikan Islam untuk siapa? Bukankah semua itu tanda cinta Allah kat kita? Allah SWT telah menyelamatkan kita dari api neraka dengan rahmat-Nya,
"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (Agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat-nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, maka Allah menjinakkan antara hati kamu, lalu menjadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara dan(ingatlah) ketika kamu berada di jurang api neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk".(Al-Imran: 103)
Kita akan dapat lihat macam-macam lagi perkara yang menunjukkan kasih sayang dan cinta Allah, jika kita berfikir. Allah bagi nikmat akal, gunalah dengan sebaiknya. Tak guna dapat degree dari Most Sophisticated University tapi akal tak guna untuk fikir nikmat dan kebesaran Allah. Akhirnya, kejayaan itu bukan mendekatkan diri pada Allah tapi menjadi istidraj (sesuatu kurniaan Allah untuk menyesatkan lagi) kepada diri kita.
Cinta kedua yang sering dimadukan oleh kita adalah cinta kepada Rasulullah SAW. Di bibir kata cinta tapi perbuatan kita macam mana? Salah satu syarat untuk mendapat halawatul iman (kemanisan iman) adalah mencintai Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya. Tapi, tanpa sedar kita sudah mencintai benda lain lebih daripada kita mencintai Rasulullah. Contohnya, kita lebih cintakan duit kita, sebab itu kita jarang-jarang infakkan harta kita. Kita juga lebih cintakan dunia dan segala isinya berbanding akhirat yang kekal selamanya. Adakah memadai cinta kita kepada Allah dan rasul-Nya yang macam cinta cap ayam sebagai membalas cinta mereka? Sedangkan bukti cinta kita kepada Allah dan rasul-Nya seharusnya melebihi cinta kepada diri kita sendiri.
Baginda berjuang dan menempuh pelbagai dugaan dalam menegakkan agama Islam. Contohnya di Taif, Rasulullah telah datang dan berdakwah kepada penduduk Taif untuk mentauhidkan Allah. Tapi baginda dibalas dengan cacian, lontaran batu dan dihalau seperti seorang pengemis. Dahi Rasulullah pada waktu itu berdarah sehingga mengalir ke buku lali baginda. Bayangkan wahai sahabat-sahabatku sekalian! Perjuangan bagindalah yang membolehkan kita hidup dalam dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat iman dan nikmat Islam. Cinta Rasulullah terhadap kita sebagai ummatnya tersangatlah besar sehingga di saat kematian baginda, baginda menyebut ‘ummati, ummati, ummati’ (ummatku). Sayangnya Rasulullah kepada kita. Bahagianya bila tahu ada yang mencintai kita!
Namun, apa bukti kita mencintai Allah dan rasul-Nya? Apa amalan kita yang tak seberapa selama kita hidup ini, kita katakan itu adalah tanda cinta kepada Allah jika nak dibandingkan dengan nikmat kurniaan Allah yang tidak terhingga kepada kita? Selalunya, kita berubah demi pasangan yang tidak halal bagi kita tapi bila disuruh berubah kerana perintah Allah, kita katakan belum sampai seru walhal seruan itu sudah datang beribu-ribu tahun yang lalu. Sedarlah, Allah itu Pencipta kita. Cinta itu milik Allah. Jangan sampai Allah tarik cinta ibu bapa, cinta rasulullah dan cinta-Nya dari diri kita kerana keangkuhan diri kita sendiri.
__________________________________________________
Rakan-rakanku yang dikasihi keranaNya,
Jangan sampai suatu saat Rasulullah tidak mengaku kita ummatnya, baru kita nak mencintai baginda.
Jangan sampai suatu saat bila mana taubat kita tidak diterima baru kita terangkak-rangkak mencari cinta dan keredhaan NYA.
Marilah sama-samalah kita bercinta dengan yang selayaknya kita cintai.
Rasailah nikmat cinta yang diredhai oleh Allah S.W.T dan disenangi oleh kekasih-Nya.
Cinta dunia yang dikejar tidak diperoleh dan cinta dari langit yang sedia ada berciciran.
Balaslah cinta yang belum terbalas duhai sahabatku sebelum Izrail melakukan tugasnya…
Jangan sampai suatu saat Rasulullah tidak mengaku kita ummatnya, baru kita nak mencintai baginda.
Jangan sampai suatu saat bila mana taubat kita tidak diterima baru kita terangkak-rangkak mencari cinta dan keredhaan NYA.
Marilah sama-samalah kita bercinta dengan yang selayaknya kita cintai.
Rasailah nikmat cinta yang diredhai oleh Allah S.W.T dan disenangi oleh kekasih-Nya.
Cinta dunia yang dikejar tidak diperoleh dan cinta dari langit yang sedia ada berciciran.
Balaslah cinta yang belum terbalas duhai sahabatku sebelum Izrail melakukan tugasnya…
____________________________________________________
Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.
(Ibrahim : 34)
(Ibrahim : 34)
Assalamualaikum wbt.. ^^
No comments:
Post a Comment