Tik tok tik tok. Bunyi hujan yang turun menghentam atap zink mengingatkan aku kepada si dia, teman aku yang selalu bersama aku dulu. Entah macam mana nasib dia sekarang setelah berpisah hampir dua tahun. Semoga Allah menempatkan dia bersama orang-orang yang solehah. Kisahnya bermula ketika kami berkenalan dan mula rapat beberapa tahun lepas. Pada waktu perkenalan itu, semuanya terasa begitu indah dan terasa bagaikan pasangan paling bahagia di dunia, walaupun kami tiada ikatan yang sah.
Aku merupakan salah seorang muslim yang ‘biasa’ sahaja pada waktu itu. Aku diberi didikan agama yang asas di sekolah agama dan alhamdulillah aku tahu untuk solat, berpuasa, soal haram halal dan lain-lain lagi. Senang cerita, kalau aku diminta untuk mengajar budak-budak sekolah rendah bab agama, mesti mereka akan lulus dengan warna berterbangan (baca: pass with flying colours). Tapi, aku gagal untuk mengaplikasikan segala apa yang aku belajar sejak tadika dalam kehidupan seharian. Aku boleh sahaja nak menyalahkan sistem pendidikan yang sekular, tapi aku cuma akan menafikan bahawa diri aku yang jahil. Jahil bukan bererti otak yang tak cerdik, tetapi hati aku yang buta.
Disebabkan kejahilan aku, batasan antara lelaki dengan perempuan aku langgar tak kisah soal halal haram. Kadang-kadang, dengan bisikan syaitan, kami terlanjur bukan sekali, bukan dua kali, tapi berkali-kali walaupun tahu yang perbuatan itu sangat terkutuk. Bukan setakat itu, aku pun hanya akan solat apabila terasa nak solat walaupun aku tahu berdosa besar kalau meninggalkan solat. Hal ini mungkin kerana keadaan persekitaran di rumah yang tak begitu kondusif kerana pada waktu itu aku bersekolah harian. Jadi, memang hampir setiap hari aku jumpa dia dan membuatkan aku terus tenggelam dalam kemaksiatan. Maksiat-maksiat juga, tapi study tetap tak dilupakan. Lalu, ditakdirkan aku mendapat keputusan cemerlang dan dapat melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah berasrama terbaik di seluruh Malaysia.
Di sini, segalanya berubah apabila aku melangkahkan kaki ke asrama ini. Di sini, keadaan yang begitu kondusif dan persekitaran yang soleh membuatkan aku mengamalkan Islam secara sepenuhnya. Walaupun tidak sempat berjemaah 5 waktu di surau, namun di sini terasa begitu mudah untuk melakukan solat. Keadaan ini, tak sama sekali macam di rumah! Di sini, aku belajar untuk melupakan dia buat sementara waktu kerana ketiadaannya di sisi. Namun, rasa rindu itu tetap ada membuatkan apabila pulang, kami akan keluar bersama.
Pada awal tadi ada aku katakan diri aku sama macam muslim ‘biasa’ walaupun masih melakukan maksiat. Semua ini sebab aku ada juga taubat kadang-kadang dan rasa ingin berubah. Rasa bersalah serta ingin kembali ke pangkal jalan itu tetap ada. Tapi hampir setiap kali aku balik rumah, aku tumpas dengan bisikan syaitan. Kalau di asrama, aku boleh solat 5 waktu penuh, tetapi apabila tiba di rumah, adalah juga satu atau dua yang terlepas kerana penat. Kami juga dah bertaubat dengan tidak lagi melakukan perbuatan terkutuk, tetapi kini kerap juga keluar dating. “Ok apa dah ada kemajuan sikit sekarang, sekurang-kurangnya aku dan dia dah tak buat perbuatan terkutuk itu lagi dah,” kata diri aku.
Kehidupan diteruskan di asrama sama macam hari-hari biasa. Aku dengan dia sering berhubung melalui telefon dan hampir setiap malam kami akan bergayut. Biasalah, orang kata zaman muda-mudi inilah bercinta bagai nak rak! Bila lagi kan? Tunggu dah kahwinlah baru nak taubat betul-betul.
Ditakdirkan pada suatu hari di surau asrama, memang menjadi kebiasaan untuk ustaz bagi tazkirah antara waktu Maghrib dan Isyak. Aku masih ingat lagi kata-kata beliau, “Dosa itu merupakan penghalang kepada jalan Allah. Siapa yang melakukan satu dosa, akan ada satu titik hitam dekat hati dia. Bila dah banyak sangat buat maksiat tanpa bertaubat, hati kita mungkin akan dipenuhi titik hitam dan menjadi gelap. Dengan hati yang gelap, hidayah Allah takkan masuk ke dalam dirinya. Waktu itu, hanya Allah yang mampu menolong kamu”.
Berderau darah dengar tazkirah ustaz hari. Entah kenapa ustaz hari ini sangat menakutkan sebab biasanya, dia akan jawab soalan-soalan yang memang common dan berkali-kali dijawab. Aku pun terdetik dalam hati aku, “Kejam jugak Allah ini tak nak kasi hidayah kat hamba-Nya”. Sekali lagi, entah macam mana ustaz aku hari itu ada ilmu kasyaf dapat membaca persoalan aku lalu beliau pun berkata, “ Bukan Allah yang kejam! Bukan Allah tak nak bagi hidayah dekat hamba-hamba-Nya. Tapi kita yang menzalimi diri sendiri sebab tak nak terima hidayah-Nya, tak nak mengaku bahawa DIA dah banyak kali kurniakan hidayah-Nya. Dalam surah as-Syams terang-terang Allah bagitahu yang Dia mengilhamkan kepada kita dua jalan iaitu Ketakwaan atau Kejahatan. Sangatlah untung mereka yang memilih Ketakwaan dan sangat-sangat lah rugi bagi orang yang memilih selain itu!”.
Tetapi, dengan hati aku yang mungkin dah gelap, cuba untuk betah ustaz dengan mengatakan yang “Alah, rileks lah ustaz! Kami muda lagi dan jauh lagi perjalanan. Nanti sempatlah kami nak bertaubat nanti,”. Ustaz aku buat kali keduanya mengagumkan aku dengan ilmunya, dia menjawab betahan aku dengan sebuah lagu yang aku biasa dengar yakni nyanyian Raihan yang bertajuk Demi Masa. Chorusnya yang dipetik dari hadis Rasulullah, “Ingatlah 5 perkara, sebelum 5 perkara, sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati” menusuk kalbu aku.
Selepas malam itu, aku telah perbanyakkan bacaan cuba untuk mencari dalil-dalil bagi menolak kewajiban taubat pada usia muda. Namun, segalanya gagal apabila hasil bacaan aku, memang terbukti bertaubat waktu muda itu sangat digalakkan dalam agama Islam. Beberapa hari selepas itu, waktu itu di tempat aku tengah hujan, aku mengambil keputusan untuk menelefon si dia dan menyatakan tentang keinginan aku untuk bertaubat secara sepenuhnya. Walaupun susah untuk aku buat semua itu, tapi aku gagahkan demi cinta aku kepada Allah dan takutnya aku kepada azab-Nya. Dipendekkan perbualan, adalah lebih kurang macam ini ;
Teman : Kenapa kau mesti nak berubah sekarang? Kan kita dah bincang pasal benda ini dulu. Kita nak taubatkan nanti bila dah kahwin? Sekarang pun kita bukan buat maksiat sangat. Kau tak payah nak jadi munafiklah sebab balik nanti mesti kau buat maksiat jugak.
Aku : Biarlah apa orang nak kata aku munafik ke tak. Aku tak nak terus tenggelam dalam dosa ini. Mungkin, sebab aku selalu tergelincir kadang-kadang oleh sebab hati aku ada titik hitam. Allah nak bagitahu kat aku yang aku kena tinggalkan dosa ini sepenuhnya. Barulah pertolongan Allah akan datang. Ustaz aku kata “DOSA itu PENGHALANG kepada JALAN ILLAHI”. Kalau betul kita nak bertaubat, kita kena betul-betul tinggalkan dosa itu. Baru Allah akan menunjukkan Jalan-Nya. Allah suka hamba-Nya yang bertaubat selepas buat maksiat, terutama kita yang muda-mudi ini. Aku takut! Aku takut semua ini istidraj dari Allah. Belum sempat kita bertaubat, Allah memberi azab-Nya dekat kita atau anak-anak kita, tak ke dah terlewat nanti. Mungkin hati kita dah gelap time itu sampai Allah tak nak terima taubat kita. Maafkan segala kesilapan aku sebelum ini dan harap kau faham. Amalan kita time muda Allah paling suka dan aku tak nak kita tergolong dalam orang yang kerugian. Renung-renungkanlah!
In The Name of ALLAH THE MOST MERCIFUL...
Assalamualaikum wbt….
No comments:
Post a Comment