Monday, 24 December 2012

Husnuzon Al-Nadhaj



BERSANGKA BAIK (BERLAPANG DADA) TERHADAP MAKHLUK

Pernah diceritakan bagaimana pada suatu ketika Nabi Isa AS melalui seekor bangkai kambing bersama-sama para pengikutnya. Ketika para pengikutnya, memalingkan muka dan menutup hidung kerana jijik dan terhidu bau busuk, Nabi Isa sebaliknya berkata, “Aku lihat bangkai kambing ini mempunyai gigi yang putih”. Mengapa penting kita bersangka baik dalam hidup? Ini kerana itu akan menentukan bagaimana kita melihat atau menilai sesuatu perkara, seseorang atau kejadian. Dan bagaimana kita melihat akan sesuatu atau seseorang, akan menentukan apa yang akan kita dapat daripadanya. Ungkapan terkenal dalam bahasa inggeris “What you see, is what you get – apa yang kita lihat, itu yang akan kita dapat”.



"Bagaimana jika kita sudah dianiaya oleh orang yang sama berulangkali. Patutkah kita terus bersangka baik kepadanya?" Soalan yang sukar dijawab jika diserahkan kepada akal dan rasa hati untuk menilainya. Kita mesti bersabar dengan karenah mereka sepertimana mereka pun bersabar dengan karenah kita. Kalau tidak ada jalan keluar , kita pasrah berdoa dengan memohon taufik dan hidayah Allah selalu. Agar Allah pandu kita ke arah kebenaran. Diam itu bukannya tanda lemah, tetapi mereka adalah orang yang kuat kerana berjaya menahan kemarahan.

“Sebelum mengharap Allah menilai kita dengan baik. Didiklah diri menilai orang lain dengan baik terlebih dahulu. Yang penting bukan siapa yang kita lihat tetapi siapa kita ketika melihatnya!”
Maksudnya , kita akan menilai seseorang dengan fikiran , hati dan perasaan kita. Jika kita dapat melihat sisi baik pada diri seseorang , itu petanda fikiran , hati dan perasaan kita juga baik. Syukurlah. Alhamdulillah

Namun, jika sebaliknya, berhati-hatilah….. Itu petunjuk akan kejahatan diri kita bukan orang yang kita lihat.
Jika kita ingin kebaikan dalam interaksi dan komunikasi daripada seseorang, bermulalah dengan bersangka baik kepadanya. Mana mungkin kita akan mendapat kebaikan daripadanya jika kita awal-awal lagi terus bersangka buruk kepadanya. Jangan ‘menghukumnya' awal-awal lagi. Itulah prejudis. Satu sikap yang negatif yang merosakkan perhubungan yang baru bermula atau yang telah lama terjalin. Tidak sewajarnya kita merasa tidak suka akan seseorang tanpa asas yang kukuh dan jelas. Kan setiap orang mukmin itu bersaudara. Tidakkah kita salah seorang antaranya? Nanges...

Orang yang sibuk ‘menghukum’ tidak akan sempat memberi kasih sayang. Begitulah yang pernah diungkapkan oleh orang yang bijak pandai. Kekadang , belum pun mula berkenalan, apa lagi bercakap-cakap…. Baru melihat wajahnya sahaja, terus terdetik akan keburukan dan kelemahannya. Acapkali kita menghukum orang lain dengan ‘fail’ lama, sedangkan mungkin dia telah berubah. Mahukah kita kalau dihukum dengan kesalahan lalu yang telah kita perbaiki berkali-kali? Kesabaran seseorang untuk berurusan atau berhadapan dengan orang yang mempunyai  'fail' buruk yang lama dengan kita, mencerminkan kesempurnaan akal dan akhlak seseorang itu.

Ya Allah, jahatnya hati kita. Siapa kita? Hamba, tuan atau Tuhan? Dengan ilmu dan maklumat yang sangat terbatas kita berani melampaui batas seorang hamba Allah, yang kaya dengan kelemahan dan kejahilan. Tuhan yang Maha sempurna itupun tidak kejam. Allah Maha Adil, Maha Penyayang… Sentiasa membuka ruang untuk hambaNya memperbaiki diri dan membuka ‘Fail’ baru. Justeru , Allah SWT dengan tegas melarang kita bersangka buruk sesama manusia. Dalam Al-Quran, Surah Al-hujurat ayat 12, Allah menyebut tentang prasangka, yang bermaksud

“Wahai orang-orang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan(Supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa……”

BERSANGKA BAIK TERHADAP TUHAN

Allah mengingatkan kita melalui sebuah hadis Qudsi: “Aku bertindak sebagaimana sangkaan Hamba-Ku(DOA DAN FIKIR KITA KEPADANYA). Dan aku akan selalu bersama hamba-Ku jika dia mengingati-Ku. Kalau dia mengingati-Ku dikhalayak ramai, Aku mengingatinya di tengah khalayak yang lebih ramai lagi(para malaikat dan seluruh makhluk) ....... "
(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Begitulah dalam hidup ini, kita mesti memulakan kebaikan daripada diri kita sendiri. Caranya? Bermula dengan sangka baik. Lihat yang baik-baik. Insya’Allah, lama-kelamaan kita akan jadi baik dan mendapat kebaikan. Lebih-lebih lagi sebagai seorang pelajar medik, apakah wajar dia mengatakan dia tidak mampu untuk lepas dalam bidang medik ini sebelum dia belajar dan mencuba sedaya upaya mencari fakta yang tidak terbilang dengan jari. Ungkapan terkenal dalam bahasa ibunda kita “Biar putih tulang jangan putih mata”.

Ada orang yang sering mengeluh, malah mengutuk nasib dirinya yang malang, “mengapa yang buruk-buruk, sedih , gagal dan malang sering menimpa hidupku?” lalu sibuklah dia menyalahkan sipolan dan sipolan, itu dan ini…. Semuanya tidak kena. Padahal, yang tidak kena itu mungkin adalah dirinya sendiri. Dia yang memandang gelap , buruk dan busuk dalam hidup… lalu dia terpaksa menuai apa yang disemai! Jika kita berterusan bersangka buruk dengan Allah, itulah yang kita akan dapat (Nauzubillahi min zalik).






Namun, jika kita berdepan dengan seseorang yang sudah ada rekod buruk, reputasi negatif serta kita pernah mengalami pengalaman-pengalaman yang pahit akibat angkaranya, jangan bersangka buruk… tetapi berhati-hati. Itu menunjukkan kesempurnaan akal dan akhlak seseorang. Berilah peluang untuk dia dipercayai , dan pada kita sendiri untuk mempercayainya… Namun jangan jatuh dalam ‘lubang’ yang sama berkali-kali. Wahai mu’umin sejati sekalian, ingatlah pesan Nabi: “Seorang mu’umin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali!”.

Bukalah mata kita, buka pintu rumah di hening subuh nanti dan bersangka baiklah pada Allah yang Maha Penyayang, bahawa dia akan memberikan kita jalan rezeki yang tiada tolak bandingnya, iaitu hidayah yang membawa ke kejayaan di dunia dan kebahagian di akhirat. Ayuh kita berhijrah sempena tahun 1434 hijrah ini dengan membina sifat bersangka baik yang matang (HUSNUZON AL-NADHAJ) terhadap diri sendiri, ibubapa, adik beradik, saudara dan saudari,  rakan ,seperjuangan, pensyarah, masyarakat kini , pada Rasulullah S.A.W., sahabat-sahabat baginda, dan paling penting, pada Allah S.W.T.  Wallahu’Alam, sekadar perkongsian kita bersama.=) Jazakallahulkhair.


-BUNYANUMMARSUS-

No comments:

Post a Comment